Oleh: Siti Khadijah Jaafar
PUTRAJAYA: Politeknik akan menjadi medan dan pemain utama untuk latihan kemahiran pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional TVET di bawah Transformasi Politeknik 2023-2024.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sekaligus akan menjadikan politeknik sebagai pilihan dan alternatif yang berdaya saing dalam ekosistem pendidikan tinggi.
Berucap sempena Majlis Peluncuran Transformasi Politeknik 2023-2024 di Putrajaya siang tadi, beliau berkata, transformasi itu antara usaha pengukuhan kebolehpasaran graduan yang sistematik dan bersifat langsung.
“Transformasi ini adalah satu proses mengoptimumkan bakat, potensi serta peluang negara untuk menjadi maju dan berdaya saing melalui lapangan TVET. Terutamanya dalam konteks penyediaan bakat berkemahiran tinggi yang berupaya menjawab tuntutan serta keperluan semasa. Kita mahu membuka ruang untuk penyertaan dan penglibatan pihak industri, pusat kecemerlangan dan penyelidikan untuk menjadi sebahagian daripada pemacu aktif dalam pendidikan tinggi”, katanya.
Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Kerangka Transformasi Politeknik 2023-2030 di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi ,KPT merumuskan empat matlamat, tiga inisiatif pembaharuan berstrategik, 13 agenda pembaharuan kritikal dan 18 objektif strategik.
Ia perlu dijayakan berikutan wujudnya cabaran abad ke-21 seperti gelombang revolusi industri IR 4.0,kecerdasan buatan AI, pendigitalan serta teknologi disruptif.
Kesemua itu menuntut penyelarasan semua program latihan yang ditawarkan , bersifat semasa dan memenuhi keperluan serta permintaan terkini pasaran.
Beliau turut menekankan keperluan mempelbagaikan hubungan dan jalinan kerjasama dengan semua pihak khususnya pemain industri.
Ia bagi meneroka dan memeta kerjasama yang lebih radikal dengan semua pihak terlibat.
“Jalinan hubungan sangat penting dan kena keluar dari kepompong kelaziman. Segala jalinan dan hubungan yang ada mesti dirancakkan”.