comscore
Tumpuan :
Nasional

Tram di Melaka boleh direalisasikan jika pilih kerajaan stabil

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Tram sebagai mod pengangkutan baharu di Melaka dapat direalisasikan jika rakyat memilih kerajaan yang stabil pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sebarang cadangan direncanakan kerajaan negeri sebelum ini perlulah selari dengan kerajaan Pusat yang bakal dipilih PRU-15 nanti.

Jelas beliau, bukan sahaja tram, projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) juga dirancang dan direncakankan semula demi kepentingan rakyat.

“Begitu juga aspek pengangkutan awam lain seperti bas henti-henti. Kita perlu ada Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST), jika tidak tiada pengusaha yang sanggup beri perkhidmatan terbaik. Jadi, itu antara agenda kita.

“Sebab itu penting untuk (rakyat) guna undi dan beri sokongan kepada parti yang sama kerana ini akan menjamin kesinambungan dasar dan hala tuju bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni pengundi di tapak pasar malam Lereh dan Tokong Hock Seng Keng, di sini, malam tadi.

Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong, calon Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan dan calon Kota Melaka, Kon Qi Yao.

Mengulas pertukaran kerusi di antara MCA dan UMNO di Parlimen Tangga Batu serta Alor Gajah, beliau yang juga Presiden MCA berkata, perkara itu tidak menimbulkan sebarang isu memandangkan kedua-dua calon yang dipilih adalah mereka yang berwibawa dan mampu melakukan sesuatu di luar jangkaan.

Mengambil contoh Parlimen Tangga Batu, beliau menyifatkan keputusan itu tepat memandangkan Ban Hong merupakan anak jati kawasan itu dan sudah tidak asing dengan rakyat memandangkan dia juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang.

Begitu juga pemilihan Shahril yang disifatkan mempunyai kriteria seorang pemimpin progresif dan berpengetahuan luas tentang ekonomi

“Sebab itulah saya rasa terpanggil untuk memenangkan kedua-dua calon ini kerana mereka merupakan calon muda dan bertenaga yang boleh melakukan sesuatu di luar jangkaan,” katanya.

Loading...
Terkini