KUALA LUMPUR: Kematian 138 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terbongkar menerusi penemuan kem dan kubur besar di Wang Kelian, Perlis pada 2015 boleh dielakkan sekiranya sempadan negara dikawal dengan baik.
Itu antara rumusan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kes berkenaan yang laporannya didedahkan kepada umum menerusi laman web Kementerian Dalam Negeri (KDN), baru-baru ini.
Laporan setebal 184 muka surat itu memperincikan kronologi penemuan kem, siasatan, kawalan sempadan dan tindak balas pelbagai agensi penguatkuasaan terhadap penemuan kubur besar serta kem transit di Wang Kelian, berhampiran sempadan Thailand itu.
Menurut laporan itu, sempadan Malaysia-Thailand ketika ini dikawal Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengikut kawasan ditetapkan Jawatankuasa Perancang Gerakan Kebangsaan.
“Anggota yang ditempatkan tidak mencukupi, ditambah kekurangan peralatan dan kelengkapan terutama kenderaan bagi tujuan rondaan.
“Pagar dan tembok sempadan pula dibina tidak menyeluruh di mana terdapat kawasan sempadan yang terbuka, dan aset tidak diselenggara dengan baik,” katanya.
Tambah laporan itu, penyeludupan dan kematian PATI itu boleh dielakkan sekiranya pihak berkuasa mengambil langkah lebih proaktif dalam pengawalan sempadan.
“Ia tidak memerlukan usaha yang gigih untuk mengesan apa yang berlaku di Bukit Wang Burma seperti yang ditunjukkan oleh S1 (Saksi pertama RCI, Koperal Mat Ten iaitu anggota PGA yang menemui kem di Bukit Wang Burma).
“Apa yang perlu ada dalam kalangan pegawai penguat kuasa ialah sikap dedikasi, komitmen dan daya imaginasi dalam melaksanakan tugas mereka,” katanya.
Laporan itu turut menyebut, sempadan darat Malaysia-Thailand antara Wang Kelian hingga ke Bukit Kayu Hitam mudah dibolosi walaupun ada pagar keselamatan, tembok, pos kawalan serta jalan keselamatan di sempadan terbabit.
Perkara itu katanya disebabkan rondaan tidak mencukupi, pagar kawat duri mudah dipotong, ketiadaan kamera litar tertutup (CCTV) di sempadan Wang Kelian, pagar tidak disenggara dan tiada penduduk di kawasan sempadan Malaysia boleh bertindak sebagai pemberi maklumat kepada agensi penguatkuasaan.
Selain itu, CCTV hanya terdapat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di kawasan sempadan tetapi kebanyakannya rosak dan tidak berfungsi.
Laporan itu menyatakan pagar dan tembok sempadan yang dibina juga tidak menyeluruh yang mana terdapat kawasan sempadan yang terbuka, manakala pagar dan tembok sedia ada tidak disenggara dengan baik.
“Sebahagian besar kawasan sempadan negara masih belum membangun dan kawasan hutan. Keadaan ini memberi ruang kepada penyeludupan sama ada manusia, barangan, haiwan dan tumbuhan.
“Ini faktor utama menyumbang kepada kejadian di Wang Kelian,” kata laporan itu.
Menerusi laporan itu, RCI mendapati koordinasi antara agensi penguatkuasaan yang bertugas di kawasan sempadan sangat lemah.
Ia membabitkan PGA, ATM, Jabatan Imigresen (Imigresen), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan beberapa lagi agensi lain.
“Agensi-agensi yang bertugas di kawasan sempadan ini masih berpegang kepada penugasan atau ‘core business’ sendiri dan menyukarkan koordinasi kawalan sempadan yang mantap.
“Peranan pelbagai agensi kawalan sempadan membabitkan beberapa lapisan ini boleh melemahkan tindakan menjaga keselamatan di sempadan terutamanya dengan ketiadaan koordinasi yang efektif,” katanya.
Sementara itu, dalam pengurusan kes penemuan kem dan kubur di Wang Kelian, Suruhanjaya itu mendapati terdapat beberapa jabatan dan unit di bawah PDRM yang terbabit pada tahap yang berbeza.
“Terdapat kelemahan dalam koordinasi dalaman PDRM dalam melaksanakan operasi ini yang dapat dilihat melalui gerak kerja dan maklumat yang disalurkan antara jabatan dan unit mengenai penemuan kem dan kubur terbabit.
“Terdapat kelompongan dalam proses penyaluran dan perkongsian maklumat yang mana tinjauan dilaksanakan beberapa kali sebelum tindakan selanjutnya diambil. Ini dilihat menyebabkan kelewatan dalam pelaksanaan tindakan yang sewajarnya,” katanya.
Tambah laporan itu, pihak penguat kuasa juga gagal mengambil maklum, menganalisis dan memahami trend kemasukan PATI serta mengambil ringan kemasukan PATI yang berterusan pada skala yang besar sepanjang 2012 sehingga 2015.
“Sewajarnya, trend kemasukan PATI secara besar-besaran dan berterusan ini mencetus amaran dan menjadi petanda kepada agensi penguatkuasaan di peringkat negeri dan kebangsaan.
“Perkara ini juga sepatutnya dibangkitkan di peringkat pembuat dasar,” kata laporan itu.
Turut dibangkitkan dalam laporan itu, mengenai tindakan pihak berwajib yang tidak mengambil tindakan susulan segera bagi menyiasat tempat kejadian agar sebarang bahan bukti terpelihara dan tidak diganggu.
Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk menubuhkan RCI Mengenai Penemuan Kem Penempatan Sementara dan Kubur di Wang Kelian, Perlis pada 26 Oktober 2018 dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 2019.
Suruhanjaya dianggotai tujuh ahli dan dipengerusikan Tun Arifin Zakaria dengan ahli lain terdiri Tan Sri Norian Mai, Tan Sri Razali Ismail, Datuk Noorbahri Baharuddin, Datuk Junaidah Abdul Rahman, Datuk Nazirah Hussain dan Dr Tan Seng Giaw.
Pendengaran awam diadakan selama 17 hari antara 17 April 2019 sehingga 18 Jun 2019 di Dewan Gemilang KDN Putrajaya.
Seramai 48 orang saksi dipanggil yang terdiri daripada anggota keselamatan, penjawat awam, orang awam, PATI dan pengamal media.
Berdasarkan keterangan saksi di hadapan Suruhanjaya, jumlah keseluruhan mayat dan kubur yang ditemui dalam Operasi Wawasan Khas di Genting Perah dan Bukit Wang Burma, Wang Kelian ialah 138 mayat dan 148 kubur. -BERITA HARIAN