comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi UiTM Dungun: Tempoh pemeriksaan psikiatri pemandu wanita dilanjut sebulan lagi

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

DUNGUN: Mahkamah Majistret Dungun, Terengganu, melanjutkan tempoh pemeriksaan psikiatri ke atas pemandu wanita yang merempuh dua motosikal hingga menyebabkan kematian tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun sebulan lagi.

Majistret Nur Amira Fatihah Osman, melanjutkan tempoh pemeriksaan itu mengikut Seksyen 342 (3) Kanun Tatacara Jenayah kerana pihak perubatan memerlukan lebih masa untuk menilai keadaan mental tertuduh.

Oktober lalu mahkamah mengarahkan tertuduh Norizan Ismail, 49 tahun, menjalani pemeriksaan mental di  Hospital Permai, Johor Bahru, Johor.

Terdahulu, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, Ku Adib Aizat Ku Azmi dan Khairil Anuar Jamaluddin, masing-masing berusia 20.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 9 Oktober lalu di Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun Jam 7.35 Malam.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, dihukum tidak kurang 12 sebatan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 17 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Raya, Azizan Abdullah dan Nur Azhani Azman manakala tertuduh diwakili peguam, Norhabibah Norulalzahar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini