Tumpuan :
Nasional

Tragedi Tsunami 2004: Misi SAR paling tragis, pilu di Aceh

Suasana Aceh selepas dibadai gempa bumi dan Tsunami pada 26 Disember, dua dekad lalu.

Oleh: Fazli Ahmad

SHAH ALAM: Mayat berselerakan di seluruh Aceh, terbiar tanpa perhatian, dan kehancuran menyelubungi setiap sudut bandar itu.

Itulah pemandangan memilukan menyambut kehadiran Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, apabila beliau bersama Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) Malaysia tiba di Banda Aceh, 48 jam selepas tsunami dahsyat melanda pada 26 Disember 2004.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail.

“Sebaik tiba, seluruh kawasan ibarat padang jarak padang tekukur. Rumah dan premis perniagaan ranap, penduduk terselamat pula seolah-olah hilang arah—masih trauma, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Mayat bergelimpangan di mana-mana, tiada siapa yang peduli,” katanya mengenang momen getir itu.

Pasukan seramai 55 anggota, termasuk dari JBPM dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), menjadi kumpulan antarabangsa pertama tiba di lokasi bencana.

Hari pertama operasi memberi fokus kepada usaha mencari mangsa yang masih hidup. Namun, hanya seorang bayi ditemui terselamat.

Suasana Aceh selepas dibadai gempa bumi dan Tsunami pada 26 Disember, dua dekad lalu.

“Melihat kemusnahan di seluruh bandar, kami tahu peluang menemui mangsa hidup amat tipis. Gelombang tsunami terlalu dahsyat,” ujarnya dengan nada sebak.

Hari seterusnya misi menyaksikan usaha lebih tertumpu kepada mencari dan mengumpulkan mayat.

Menurut Wan Md Razali, mayat mangsa ditemui di merata tempat, di tepi jalan, atas jambatan, di celah runtuhan, malah tertimbus dalam lumpur.

Suasana Aceh selepas dibadai gempa bumi dan Tsunami pada 26 Disember, dua dekad lalu.

“Paling saya sedih, ada sebuah penjara di Banda Aceh dan ketika kami ke situ air sudah surut dan mendapati terlalu ramai banduan terkorban. Ada mayat banduan dijumpai dalam keadaan berdiri dan masih memegang besi sel penjara.” katanya.

Operasi itu juga menguji ketahanan fizikal dan mental setiap anggota penyelamat. Jalan-jalan yang musnah menyukarkan pergerakan kenderaan, menyebabkan mereka terpaksa berjalan kaki ke lokasi operasi.

Suasana Aceh selepas dibadai gempa bumi dan Tsunami pada 26 Disember, dua dekad lalu.

“Ketika itu sistem komunikasi terputus dan perhubungan amat terbatas. Semua itu membuatkan saya terfikir hingga kini andainya kejadian sama berulang adakah sistem komunikasi tidak terjejas dan apa altenatif yang ada. Kami meredah runtuhan bangunan untuk mencari mangsa. Ketika itu, sistem komunikasi terputus, menjadikan perhubungan amat terbatas,” jelasnya.

Sepanjang 10 hari misi, pasukan pertama ERT Malaysia disertainya mengumpul lebih 5,000 mayat, meskipun berdepan ancaman gegaran susulan hampir setiap hari.

Keadaan di Aceh juga ketika itu masih bergolak dengan konflik perang saudara melibatkan Gerakan Aceh Merdeka (GAM), menyebabkan mereka dikawal oleh anggota tentera demi keselamatan.

Suasana Aceh selepas dibadai gempa bumi dan Tsunami pada 26 Disember, dua dekad lalu.

“Risiko yang dihadapi setiap anggota penyelamat amat tinggi. Mereka perlu memiliki latihan mencukupi, kekuatan fizikal dan mental yang luar biasa, serta kesabaran yang tinggi. Operasi tsunami Aceh ini adalah pengalaman dan pengajaran paling berharga sepanjang kerjaya saya,” katanya.

Dua dekad berlalu, namun kisah Aceh kekal terpahat sebagai peringatan tentang kekuatan alam dan ketabahan manusia. Ia juga mengingatkan pentingnya kesediaan menghadapi bencana, termasuk sistem komunikasi dan alternatif yang lebih baik jika tragedi serupa berulang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini