Oleh: Fazli Ahmad
GEORGE TOWN: Dua dekad berlalu, namun tragedi Tsunami Asia pada 26 Disember 2004 yang meragut hampir 230,000 nyawa masih menjadi memori yang tidak akan dilupakan.
Malaysia turut menerima kesan besar apabila 68 nyawa terkorban, ribuan kehilangan tempat tinggal, dan sumber pendapatan musnah sekelip mata.
Segalanya bermula pada jam 1.30 tengah hari, beberapa kawasan seperti Tanjung Tokong, Gurney Drive, Batu Feringgi dan Balik Pulau dibadai bencana itu akibat gempa bumi yang terlebih dahulu ‘menggoncang’ Acheh.
52 kematian direkodkan di Pulau Pinang termasuk 37 mangsa yang sedang berkelah di Pantai Miami, Batu Feringgi.
Mengimbas detik itu, seorang mangsa, A. Suppiah, 75, berkongsi bagaimana Tsunami yang melanda mengancurkan premis perniagaannya ketika itu.
Dia juga berkongsi bahawa anaknya, S. Thulaashi yang berusia 22 hari pada ketika itu dihanyutkan oleh gelombang pertama ketika sedang nyenyak tidur.
“Saya cuba tolak pintu bilik, tapi tak boleh sebab air dah masuk dan bertakung di dalam. Saya tak tahu nak buat apa, jadi saya cari kayu dan pecahkan pintu itu.
“Bila air surut, barulah isteri saya keluar sekejap melalui tingkap. Lepas itu, dia tanya, mana dua anak kita?
“Saya dan isteri panik serta menanggis apabila dapati Thulaashi (anak) hilang, kemudian diberitahu bayi kami berada di tengah laut manakala Kanchana (anak) selamat dengan berpaut pada pokok pisang yang terletak kira-kira 10 meter dari kedai kami,” kongsinya.
Bagaimanapun, keajaiban berlaku tatkala gelombang kedua tsunami itu seolah-olah menghantar anaknya kembali ke pantai dalam keadaan selamat.
Sejak itu, Thulaashi yang tidur sepanjang kejadian menjadi tajuk utama dunia sehingga mendapat jolokan ‘Tsunami Miracle Baby’.
Thulaasi, yang kini berusia 20 tahun, kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan di sebuah universiti tempatan.
Dalam pada itu, Pakar Ekologi Alam Sekitar Marin, Profesor Datuk Zulfigar Yasin berkata, meskipun 20 tahun berlalu, namun risiko pada masa akan datang tetapu wujud.
Beliau juga menyangkal dakwaan kononnya negara akan selamat kerana berada di luar Lingkaran Api Pasifik.
“Kita tak boleh ramal dengan tepat saat sesuatu bencana akan berlaku, tetapi melalui pemantauan seperti geseran dan pergerakan kerak bumi, kita boleh mengesan kemungkinan awal,” jelasnya.
Katanya, berbanding dua dekad lalu, kini sistem amaran awal dan tahap kesedaran masyarakat lebih baik, sekali gus membantu mengurangkan kesan kemusnahan.
“Contohnya, di Jepun, mereka sangat bersedia untuk menghadapi tsunami. Ketika tsunami 2011 melanda, walaupun ramai yang terkorban, saya percaya jumlah itu boleh menjadi lebih besar jika tiada persediaan,” tambah Zulfigar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.