Tumpuan :
Nasional

Tragedi tsunami 20 tahun berlalu masih segar dalam ingatan

Galeri Tsunami yang dibina di Kampung Sungai Muda bagi memperingati tragedi yang pernah menggemparkan dunia dua dekad lalu.

Oleh: Fazli Ahmad

KUALA MUDA: Tragedi tsunami melanda 14 negara dua dekad lalu masih segar dalam ingatan mangsa yang terjejas.

Bahkan, kisah kehilangan dan trauma masih mencengkam kehidupan mereka meskipun sudah 20 tahun kisah itu berlalu.

Pada jam 1:30 tengah hari, 26 Disember 2004, Kampung Sungai Muda, Kedah dikejutkan oleh gelombang besar tsunami yang membadai pantai perkampungan ini. Kejadian yang berlaku dalam sekelip mata itu meragut 11 nyawa, termasuk seorang bayi, dan memusnahkan lebih 120 rumah penduduk berhampiran pantai.

Menurut Yusoof Awang, 60, yang merupakan mangsa kejadian, bencana tersebut berlaku ketika sebahagian penduduk menghadiri kenduri kahwin di sebuah rumah berhampiran pantai. “Pada mulanya, ombak pertama tidak besar, tetapi sejurus kemudian, dua gelombang besar dengan arus kuat datang menghanyutkan segalanya,” katanya.

Beliau menambah, ombak besar itu melimpah sejauh 500 meter dari pantai, merosakkan rumah dan menghanyutkan kenderaan. “Ramai yang tidak sedar, dan semuanya berlaku secara tiba-tiba. Banyak rumah musnah dan ramai hilang,” ujar Yusoof kepada Buletin TV3.

Kampung Sungai Muda mencatat jumlah korban tertinggi di Kedah, termasuk lima warga emas: Tempawan Khamis, 74; Ropizah Abd Rashid, 70; Munah Awang, 70; Saayah Hitam, 70; dan Narimah Ahmad, 60. Antara korban lain ialah dua beradik, Norhafizatul Fasehah Md Hafizi, 11 bulan, dan kakaknya Norhafizatul Fatihah, 5 tahun, serta empat penduduk lain.

Bencana itu berlaku kira-kira lima jam selepas gempa bumi berukuran 9.1–9.3 magnitud menggoncang perairan pantai barat Sumatera Utara, Indonesia. Gegaran kuat itu mencetuskan tsunami setinggi 30 meter, yang membadai kawasan penempatan di sepanjang Lautan Hindi.

Tragedi tersebut meragut hampir 230,000 nyawa di 14 negara, dengan Indonesia mencatatkan lebih 167,000 kematian. Di Malaysia, 67 orang disahkan terkorban, termasuk 52 di Pulau Pinang, 12 di Kedah, dua di Perak, dan satu di Selangor.

Kampung Sungai Muda, yang terletak berhampiran pusat pelancongan Pantai Merdeka, merupakan antara lokasi paling terjejas di Malaysia. Bagi mengenang tragedi itu, Galeri Tsunami dibina di kampung tersebut, dan beberapa struktur runtuhan rumah penduduk dikekalkan sebagai peringatan kepada pengunjung.

Mangsa yang terselamat kini ditempatkan di Taman Permatang Katong, kira-kira satu kilometer dari lokasi bencana. Namun, menurut Yusoof, kesan trauma masih membayangi kehidupan mereka meskipun 20 tahun telah berlalu.

“Sebahagian besar kami kehilangan sumber pendapatan akibat bencana ini. Sebelum tsunami, hasil tangkapan ikan boleh mencecah 500 hingga 1,000 kilogram sehari. Selepas itu, hasil berkurangan untuk beberapa tahun, menyebabkan harga ikan melambung,” katanya.

Tragedi tsunami 2004 bukan sahaja meninggalkan kesan fizikal tetapi juga emosi mendalam kepada penduduk Kampung Sungai Muda, yang sehingga kini terus mengingatkan dunia tentang kuasa alam yang tidak dapat dijangka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini