comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi Sungai Jahang: Mohamad Khairul Hakim selamat dikebumikan

Oleh: Selwam Arjunan

POKOK SENA: Jenazah Mohammad Khairul Hakim Hamidi, 37, yang lemas di Sungai Jahang, Gopeng di Perak semalam, selamat dikebumikan jam 12.30 tengah hari tadi.

Terdahulu, jenazah mangsa dibawa ke Masjid Ar-Rayyan, Kampung Bukit, Naka untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, dekat sini.

Kira-kira 300 orang termasuk ahli keluarga dan penduduk kampung turut menghadiri majlis pengebumian jenazah Allahyarham.

Rakan mangsa, Mohd Arif Ahmad Zukri, 30, berkata, arwah Muhammad Khairul Hakim seorang yang sangat baik malah sepanjang perkenalan mereka, dia tidak pernah marah, malah sering membantu jika dalam kesusahan.

Katanya, setiap hari arwah akan menghantar WhatsApp kepadanya untuk bertanya khabar sebelum masuk kerja jam 8 pagi.

“Kami sama-sama bekerja di Langkawi, tetapi berlainan bidang namun hubungan kami sangat rapat.

“Kali terakhir bertemu dengannya Rabu lalu namun arwah tidak menunjukkan perubahan sikap,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd Arif berkata, dia mengetahui kejadian itu melalui rakan-rakan mereka pada jam 7.30 malam tadi dan terkejut apabila dimaklumkan Muhammad Khairul Hakim lemas.

Katanya, dia bagaikan tidak percaya kejadian itu berlaku sehingga rakan baiknya itu pergi buat selama-lamanya.

“Memang banyak kenangan saya bersama arwah kerana kami selalu keluar makan bersama dan lepak jika ada kelapangan.

“Lepas ni tak ada dah orang nak hantar WhatsApp setiap pagi untuk bertanya khabar seperti yang arwah lakukan. Memang dia sahabat yang baik,” katanya.

Muhammad Khairul Hakim adalah antara tiga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang meninggal dunia dalam aktiviti berkait redah jeram di Sungai Jahang, Gopeng, Perak, semalam.

Allahyarham bertugas sebagai Penolong Jurutera Kanan JKR Daerah Langkawi itu meninggalkan isteri, Nur Sharina Shamsudin, 38, dan tiga anak, Asma Nur Imani, 11, Iman Nur Hannan, 8, Muhammad Al Fateh, 6.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini