Tumpuan :
Nasional

Tragedi Ramadan: Nyawa Zahara direntap sahabat baik, mayat ditemui di dalam longkang

Menurut polis, suspek bertindak menampar muka mangsa sebelum memijak wanita warga emas berusia 77 tahun itu.

KETERUJAAN menjalani ibadah puasa menjadi perkara yang paling dinantikan oleh seluruh umat Islam dan menjelang Ramadan lima tahun lalu, satu tragedi hitam menimpa seorang warga emas apabila maut di tangan sahabat baik sendiri dalam satu kejadian di Setiawan, Perak.

Zahara yang pada waktu itu berusia 77 tahun dibunuh dengan kejam oleh sahabat yang dikenali sejak kecil, namun berubah perwatakan disebabkan pergeseran dan salah faham berkaitan wang.

Kehilangan ibu tunggal kepada 12 orang anak itu disedari anak-anaknya pada pukul 6 petang apabila Zahara belum lagi pulang walaupun sudah hampir waktu berbuka puasa.

Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Perlis, Asisten Superintendan Mohd. Azraan Mohd. Mokhtar yang pada itu bertugas di IPK Perak berkata, Mohammad Shahruddin yang masih bujang pada usia 68 tahun bertindak agresif selepas kematian ibunya pada tahun 2018.

Pada petang hari kejadian, mangsa yang mencari rezeki dengan berniaga nasi lemak datang ke rumah suspek untuk berbincang mengenai beberapa perkara yang berpunca daripada isu wang dan ketidakpuasan hati mangsa terhadap perilaku suspek.

Perbincangan yang pada awalnya lancar, tanpa diduga bertukar tegang dan mangsa telah ditampar dengan kuat di wajah sehingga tersungkur ke lantai.

“Suspek pun dia mengaku dia telah menampar si mangsa dan seterusnya dia ada memukul dan memijak si mangsa.

“Tidak cukup dengan itu, dia buat lagi, dia telah mengambil tudung milik si mangsa dan menjerut leher si mangsa. Tak cukup dengan itu, dia telah mengambil tuala dan menjerut lagi sekali leher si mangsa,” katanya.

Bermula daripada laporan kehilangan orang, hasil siasatan akhirnya menemukan mangsa yang tidak lagi bernyawa.

Hasil siasatan mendapati mangsa dipukul berulang kali tanpa simpati, malah dijerut sehingga menyukarkan pernafasan, dan akhirnya Zahara yang mesra disapa sebagai Kak Zah menemui ajal setelah dicampak ke dalam parit yang dipenuhi air.

Tonton laporan khas ‘Air Mata Ramadan’, dalam program Fail Mahkamah malam ini di TV3.

Program Fail Mahkamah bersiaran setiap Rabu, jam 9 malam dan strim sekarang melalui Tonton!

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini