KEMAMAN: Hasrat seorang lelaki untuk melangsungkan pertunangan pada minggu hadapan tidak kesampaian apabila maut manakala bakal tunangnya cedera parah dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan, di Kemaman, malam tadi.
Nahas berlaku pada jam 11.00 malam di Kilometer 105, Jalan Kuantan-Kuala Terengganu, berhampiran pusat pemprosesan minyak dan gas di kawasan perindustrian Kerteh. Nahas melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kereta.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan mengesahkan mangsa yang maut ialah Muhammad Aliff Hafizzudin Samsul, 24 tahun manakala pasangannya yang cedera parah ialah Nur Ralifah Ilyana Azman, 21 tahun.
Hanyan berkata, mangsa yang bakal melangsungkan pertunangan pada Jumaat minggu depan dalam perjalanan pulang untuk menghantar bakal tunangnya ke kampung Seberang Pintasan di Dungun, selepas selesai membeli cincin pertunangan di Kemaman.
Setiba di lokasi kejadian, sebuah MPV jenis Mazda yang dinaiki pasangan berumur 50 dan 53 tahun yang datang dari arah Dungun menuju ke Kemaman dikatakan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar kereta jenis Proton Wira yang dinaiki oleh pasangan terbabit lalu terbalik.
“Sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh bersama kekuatan sebuah jentera mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta yang remuk teruk.
“Anggota bomba mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa berikutan keadaan kereta yang remuk teruk dan pihak bomba terpaksa memotong bahagian bumbung kereta untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.
“Pasangannya yang cedera parah di bahagian muka dan badan telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut ,” katanya.
Sementara itu, kakak kepada mangsa yang maut, Rahayu Bakar, 44, ketika dihubungi berkata, sebelum itu adiknya sempat singgah di rumah untuk menghantar cincin pertunangan untuk disimpan.
Dia yang mengetahui berkenaan kejadian tersebut pada jam 10.00 malam tidak menyangka perbualan dengan adiknya ketika menghantar cincin pertunangan sebelum kejadian merupakan perbualannya yang terakhir.
“Memang kami sekeluarga terkejut dan tidak menyangka perkara ini akan berlaku, adik saya sempat berbual dengan kami sebelum menghantar bakal tunangnya dan dia ada menyatakan yang dia tidak sabar untuk berkahwin.
“Sebelum ini dia ada bertanya kenapa nama dia panjang sangat sebab nanti susah tok kadi nak sebut masa bernikah nanti dan kami pun tergelak besar bila dia tanya soalan itu,” katanya.
Sementara itu abang kepada Nur Ralifah Ilyana, Saiful Ismail, 30 , berkata dia mengetahui kejadian yang menimpa adiknya itu melalui keluarga mangsa dan terus ke Hospital Dungun bersama keluarganya.
“Selepas dikeluarkan dari kereta, adik saya masih boleh bercakap dan dia bagitahu yang bakal tunangnya itu dah tiada , dia ada beritahu yang dia cedera kat muka, perut dan bahagian badan yang lain.
“Mereka akan berkahwin sekitar bulan Oktober ini dan semua persiapan pertunangan sudah pun siap dan hanya menunggu hari pertunangan sahaja,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat dan jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung di Bandar Chukai.
Kes akan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.