comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi Lembah Maksina: Bomba sahkan 3 maut, 12 lagi selamat

FOTO: Ihsan Bomba

LAHAD DATU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan tiga maut manakala 12 lagi terselamat dalam insiden kepala air di Lembah Maksina, Sungai Makuou, Tungku, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang Ahad, semua mangsa berusia lingkungan 25 hingga 58 tahun itu dikatakan masuk ke kawasan berkenaan untuk melakukan aktiviti ‘River Hiking’.

Bagaimanapun, sebaik berlaku insiden kepala air berkenaan, semua 15 mangsa dihanyutkan kepala air dan tiga daripadanya dilaporkan hilang.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.28 malam.

Katanya, panggilan kecemasan dibuat oleh dua lagi individu yang keluar dari kawasan kejadian untuk mendapatkan bantuan.

“Kedua-dua mangsa dikatakan tidak terkena insiden kepala air kerana selesai awal dari aktiviti berkenaan dan sudah berada di ‘starting point’ sejak jam 3 petang.

“Pasukan operasi berjaya tiba di lokasi kejadian pada jam 9.36 malam dan operasi mengeluarkan sembilan mangsa terperangkap terus dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa berjaya dibawa keluar ke tempat selamat oleh pasukan operasi kira-kira jam 12 tengah malam.

Katanya, terdapat dua mangsa yang cedera dan mereka diberikan rawatan oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Riki Mohan berkata, tiga individu yang hilang ditemui tertimbus di bawah kayu balak pada jam 1.37 pagi tadi.

Bagaimanapun katanya, operasi mengeluarkan mayat terpaksa dijalankan lima jam selepas itu berikutan cuaca kurang baik dan keadaan gelap di kawasan penemuan.

“Mangsa yang maut membabitkan seorang wanita dan dua lelaki yang dikenali sebagai Rosnaneh Mutahir, 58, Saharuddin Baharuddin , 44, dan Saleh Latani yang bertugas sebagai ketua expedisi berkenaan.

“Semua mayat mangsa sudah berjaya dikeluarkan dan operasi ditamatkan pada jam 1 petang tadi,” katanya.

Menurutnya, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Perhutanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini