comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tragedi Lake Tekapo: Jenazah pelajar Malaysia, Megat Ashman Aqif dikebumikan di Christchurch

Oleh: Fareez Azman

PETALING JAYA: Jenazah pelajar Malaysia, Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni, 21, yang maut dalam kemalangan di New Zealand minggu lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Muslim Cemetery, Bromley, Christchurch New Zealand hari ini.

Jenazah Allahyarham Megat Ashman Aqif sebelum itu dibawa ke Masjid An-Nur untuk dimandi dan dikafankan sebelum disolatkan.

Jenazah kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan Muslim Cemetery, di sini kira-kira jam 2.30 petang waktu tempatan untuk dikebumikan.

Suasana pilu menyelubungi keluarga dan kenalan Allahyarham ketika jenazah dimasukkan ke liang lahad.

Antara ahli keluarga yang hadir, ibu dan bapa Allahyarham, Noor Aishah Abdul Latif dan Megat Irman Jefni, serta adik Allahyarham iaitu Megat Rayyan Dashrin, 18.

Sementara itu, nenek Allahyarham, Nor Hanita Meor Mohd Nor, 62, turut menunaikan solat jenazah ghaib selepas solat Zuhur di Masjid Sultan Yussuf, Rapat Setia hari ini.

Dalam pada itu, Megat Irman Jefni melahirkan rasa syukur urusan pengkebumian anaknya Megat Ashman Aqif, berjalan lancar.

Menerusi perkongsian video, dia dan keluarga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kedutaan Malaysia di New Zealand yang membantu.

Turut hadir di Tanah Perkuburan Muslim Cemetery, Bromley ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki.

Selain Megat Ashman Aqif, seorang lagi pelajar Malaysia, Wan Nur Adlina Alisa dari University of Canterbury turut terkorban dalam kemalangan yang berlaku pada jam 1.45 petang waktu tempatan.

Tiga lagi pelajar cedera dalam nahas sama iaitu Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Anak Walton dari universiti sama serta Muhamad Faris Mohd Fairusham dari Victoria University of Wellington.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini