KANGAR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP), terutama dalam penjualan dan penggunaan racun berbahaya.
Ia susulan insiden dua beradik, Muhammad Akil Syauqi, 3, serta Muhammad Luth Syauqi, 2, meninggal dunia masing-masing pada Rabu lalu dan semalam selepas memakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kulim, Kedah, Ahad lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menyifatkan kejadian itu sebagai satu peringatan kepada pihaknya, terutama penguat kuasa KKM, dalam meneliti semula peraturan dari segi SOP pengendalian racun berbahaya.
“Itu adalah satu perkara yang saya perlu susuli selepas ini kerana kita tahu bahawa racun berkenaan memang ‘fatal’ atau berbahaya kerana mempunyai ketoksikan sangat tinggi sehingga boleh membawa maut.
“Malah, kejadian seperti ini memberi peringatan kepada kami (KKM) khususnya penguat kuasa akan peraturan dari segi SOP, dan juga (mereka) yang menggunakan (racun).
“Ia adalah ‘wake-up call’. Meskipun sudah ada peraturan atau SOP ketat dari segi penggunaan dan jualan racun berbahaya, kita perlu menguatkuasakannya dengan lebih efektif, terutama dengan kolaborasi agensi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Program ‘Walkabout’ Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Kompleks Komalaut 2, Kuala Perlis, di sini, hari ini.
Dalam kejadian Ahad lalu, dua beradik itu kritikal selepas memakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim
Makanan ringan berkenaan didakwa digantung pada pagar dawai dipasang oleh pemilik kebun, dipercayai untuk tujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanaman. Difahamkan, lokasi kejadian itu terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka.
Kelmarin, media melaporkan seorang lelaki direman enam hari hingga 17 Julai ini bagi membantu siasatan kes itu.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly mengesahkan pasukan KKM telah menemui dan mengambil peket kecil dipercayai mengandungi racun tikus di kawasan rumah jiran dua beradik itu yang juga pemilik kebun di Kampung Padang Ubi, ketika melakukan pemeriksaan pada Rabu lalu.
“KKM memang ada membantu dalam siasatan kes itu. Sampel sudah diambil, namun kita menyerahkan siasatan itu kepada pihak polis. Punca keracunan masih dalam siasatan polis.
“Kami tidak dapat memberikan apa juga perkembangan atau kemas kini maklumat kecuali setelah polis memberikan satu perkembangan laporan yang terkini (kepada KKM),” katanya sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa
| ARTIKEL BERKAITAN
- Termakan keropok perangkap monyet mengandungi racun tikus, 2 beradik kritikal
- ‘Saya mohon orang ramai mendoakan kesembuhan kedua-dua anak’
- [VIDEO] Termakan keropok perangkap monyet mengandungi racun tikus, 2 beradik kritikal
- [VIDEO] Kanak-kanak termakan makanan ringan dicampur racun tikus meninggal dunia
- [VIDEO] Bisikkan di telinga, saya reda jika dia mahu pergi dulu – Ibu Akil Syauqi
- [VIDEO] Polis sahkan kematian mangsa kedua keropok beracun