comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi kepala air: Tiada petunjuk baharu dua lagi mangsa hilang 

Foto lokasi pencarian

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN : Dua lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, masih belum dapat dikesan walaupun pelbagai usaha dan cara dilakukan selepas 96 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd Khariri Mat Resad @ Arshad bagaimanapun berkata, pihaknya percaya  Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, masih berada di sekitar sektor pencarian sepanjang 35 kilometer.

“Bagaimanapun, kita percaya kedua-kedua mangsa masih berada di sekitar sektor pencarian sepanjang 35 kilometer iaitu dari lokasi kejadian sehingga ke muara Sungai Kemaman.

“Kita optimis kedua-kedua mangsa masih berada di kawasan sekitar ini berikutan banyak halangan seperti perangkap sampah, timbunan kayu dan beting pasir yang menjadi elemen penghalang untuk mangsa keluar ke laut,” katanya kepada Buletin TV3.

Jelasnya lagi, operasi yang memasuki hari keempat hari ini, berdepan kesukaran susulan hujan lebat  jam12.30 tengah hari.

“Kita terpaksa menangguhkan sementara operasi di kawasan sektor A berikutan kawasan itu berisiko terjadi kepala air dan kita tidak mahu kejadian sama berulang.

“Operasi di sektor B dan C iaitu di sekitar Sungai Teladas hingga ke muara Sungai Kemaman masih lagi diteruskan sehingga lewat petang ini,” katanya.

Menurutnya, SAR akan terus dilakukan sehingga pasukan penyelamat berpuas hati dengan keseluruhan kawasan pencarian.

Mohd. Khariri berkata, pihaknya meminta kerjasama semua pihak termasuk  nelayan  untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ternampak sebarang objek yang dipercayai mangsa.

Operasi disertai 174 anggota pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Pasukan Gerakan Am, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia turut dibantu sukarelawan dan orang awam.

Selain satu unit dron, operasi turut dibantu enam ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) bomba dan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang termasuk bakal menantu  keluarga itu, Muhammad Fikri dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan kepala air berikutan hujan lebat berlaku.

Setakat ini, lapan mangsa iaitu Karim Abdullah,39; Azizah Eiyi, 40; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah, 16; Muhammad Zulqarnain Haikal, 11; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziq Ziqree, 6, dan Putri Aryana Umaira, 4, sudah ditemui.

Loading...
Terkini