comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi kepala air: Seluruh keluarga gembira pergi berkelah, bawa bakul makanan, alatan memasak 

KUALA LUMPUR: “Karim membawa seluruh ahli keluarganya berkelah ke Jeram Mawar, Air Putih di Kemaman, Terengganu mungkin kerana dia mengetahui lokasi jeram itu sebab terbabit dalam kerja pembalakan berhampiran lokasi kejadian,” kata jiran mangsa di FELDA Lepar Hilir 3, Pekan, Pahang, Farah Aniqah Zulmad.

Artikel berkaitan: [VIDEO] Tragedi kepala air: Mayat ketiga dan keempat ditemui

Farah Aniqah berkata, dia mengetahui keluarga jirannya itu mahu pergi berkelah ketika mendengar suasana bising di halaman rumah mereka pada kira-kira jam 12 tengahari kelmarin.

“Saya melihat Azizah bersama suami dan anak-anaknya yang lengkap berpakaian jersi untuk mandi kelihatan gembira pergi berkelah, malah mereka tersenyum ke arah saya ketika menyusun kelengkapan yang dimasukkan dalam kereta termasuk bakul berisi makanan dan dapur serta minyak masak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, Karim bersama lapan ahli keluarganya menaiki kereta, manakala Muhammad Fikri yang dipercayai baru tiba dari Batu Pahat, menunggang motosikal bersama seorang lagi anak lelaki Karim.

Artikel berkaitan: Mayat mangsa lemas tragedi kepala air dibawa ke HSNZ

Dalam kejadian petang kelmarin, 10 mangsa termasuk Karim, 39, bersama isteri serta lapan anaknya dilaporkan hilang dalam tragedi kepala air yang berlaku di situ dengan mayat empat daripada mereka sudah ditemui.

Setakat ini, mayat isterinya, Azizah Eiyi, 40, dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, sudah ditemui  pada jam 12.30 tengah hari semalam, manakala mayat dua lagi mangsa ditemui hari ini.

Enam lagi anak Karim yang berkelah bersamanya ialah Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4, serta Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor, yang juga tunang Putri Balqis.

Artikel berkaitan: [VIDEO] Operasi SAR diperluaskan sehingga 35km hingga muara Sungai Kemaman

Menurut Farah Aniqah, jiran yang dikenali sejak 16 tahun lalu itu biasanya akan pulang ke rumah selepas keluar ke mana-mana, tetapi tidak berbuat demikian selepas keluar berkelah kelmarin.

“Kami terkejut apabila adik ipar Azizah menghubungi suami saya pada kira-kira jam 4 petang semalam memaklumkan polis meminta keluarga mereka ke Kemaman untuk pengecaman mayat mangsa.

“Setakat ini, semua jenazah dikatakan akan dikebumikan di FELDA Lepar Hilir 3 ini,” katanya.

Loading...
Terkini