comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi kepala air: SAR empat lagi mangsa tertumpu di tiga sungai pagi ini

KEMAMAN : Hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Sungai Air Putih di sini, masih tertumpu di tiga sektor A,B, dan C di sepanjang sungai itu,  Sungai Teladas dan Sungai Pinang.

Artikel berkaitan : Tragedi Kepala Air: Operasi SAR dihentikan petang ini, disambung 9 pagi esok

SAR yang ditangguh semalam akan bersambung jam 9.00 pagi ini dengan kawasan pencarian masih dalam jarak 35 kilometer.

Difahamkan arus sungai masih deras berikutan hujan lebat di beberapa kawasan malam tadi.

Hampir 170 petugas daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Gerakan Am serta penduduk kampung turut serta dalam operasi pencarian.

Empat mangsa yang masih belum ditemui ialah Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, Putri Alleya Maisarah Karim, 16.
Putri Nor Fatin Karim, 14 dan tunang kepada Putri Balqis Izzati, iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24.

Semalam polis mengesahkan identiti enam mayat yang ditemui iaitu Karim Abdullah, 39 dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim,6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Sementara itu, kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, kelmarin, dipercayai berlaku dengan pantas sehingga menyebabkan mangsa gagal menyelamatkan diri.

 Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan pada sidang medianya berkata, pihaknya percaya paras air yang naik mendadak di antara lima hingga 10 meter.

 “Kita percaya kepala air itu berlaku sangat kuat berdasarkan keadaan kereta mangsa yang dipenuhi air dan lumpur serta keadaan cermin depan kenderaan yang pecah.

 “Mungkin ketika kejadian itu kesemua mangsa masih mandi sehingga kesemua mangsa gagal menyelamatkan diri sebelum dihanyutkan arus,” katanya.

Hanyan berkata, pihaknya percaya kejadian itu berlaku antara jam 5 hingga 6 petang kelmarin.

Loading...
Terkini