CHUKAI: Dua mangsa tragedi fenomena kepala air di Jeram Mawar Air Puteh, Kemaman, Putri Balqis, 18, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, sepatutnya melangsungkan perkahwinan Disember ini.
Artikel berkaitan: Mayat 2 korban tragedi kepala air ditemui, 8 lagi dikhuatiri hilang
Ibu saudara Putri Balqis, Siti Aisyah Eiyi, 39, berkata, kedua-dua mereka telah bertunang pada Mac lalu.
“Kehadiran Muhammad Fikri adalah untuk beraya dan berkenalan dengan keluarga kami.
“Saya sangat sedih dan tidak sangka Muhammad Fikri serta kakak saya, Azizah sekeluarga meninggal dalam tragedi itu,” katanya.
Siti Aisyah berkata, kali terakhir dia bertemu dengan Azizah ketika kakaknya itu sekeluarga datang beraya di rumahnya di Felda Lepar Hilir 2, Gambang.
“Azizah dan suaminya (Karim Abdullah) memang gemar membawa ahli keluarganya bercuti dan berkelah.
“Anak Azizah, Muhammad Zulqarnain biasanya jarang mengikut Azizah bercuti atau keluar dari rumah kerana lebih gemar berada di rumah.
Tapi kali ini Muhammad Zulqarnain terpaksa mengikut Azizah bercuti di situ,” katanya.
Katanya, kakaknya itu bukan saja mengajak dia sekeluarga malah lima lagi adik beradik dan ibunya, Halimah Kasim, 60, untuk berkelah bersama di tempat kejadian.
“Ketika itu saya rasa berat hati tambahan pula suami, Mahadi Mahidin, 46, mempunyai tugas lain, saya akhirnya menolak ajakan Azizah.
“Saya tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku sehingga menyebabkan Azizah sekeluarga dan bakal menantunya itu dihanyutkan,” katanya.
Siti Aisyah berkata, dia tidak dapat bayangkan sekiranya dia dan adik beradiknya mengikuti perkelahan itu, besar kemungkinan mereka juga akan turut sama terbabit insiden itu.
“Keluarga kami sangat sedih terhadap kejadian yang menimpa kakak sekeluarga.
“Bukan satu dua orang yang terbabit malah semua ahli keluarga Azizah diambil pergi namun saya tetap reda dengan apa yang berlaku,” katanya.