comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tragedi kepala air : Pencarian mangsa terakhir diteruskan di sektor A

CHUKAI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir tragedi kepala air Jeram Air Putih, Putri Nor Fatin Karim, 14, diteruskan hari ini dengan penumpuan di sektor A kawasan pencarian.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Penguasa Kanan II Azman Alias berkata pencarian di sektor B dan C turut akan dilakukan, namun dengan skala yang lebih kecil.

Pasukan penyelamat meneruskan misi mencari mangsa yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih- FOTO NST

“Kaedah pencarian tertumpu di lokasi-lokasi yang kita sudah kenal pasti semalam, di tempat mangsa-mangsa sebelum ini dijumpai dan kita akan lebihkan pencarian di kawasan berhampiran.

“Susulan pemantauan semalam, kami dapati banyak beting baru yang wujud di jeram dan kawasan tersebut akan digali serta pencarian dibantu empat anjing pengesan K9,” katanya yang ditemui di sini hari ini.

Azman berkata operasi melibatkan 250 anggota pada hari ini juga akan melakukan pencarian semula secara terperinci di kawasan yang dicakupi sebelum ini.

“Pencarian termasuk di kawasan timbunan kayu yang baru wujud ekoran perubahan cuaca dan hujan dari semasa ke semasa,” katanya.

Jenazah sembilan mangsa yang ditemukan susulan tragedi kepala air di jeram berkenaan pada Sabtu lepas telah selamat dikebumikan iaitu lapan di Felda Lepar Hilir 3, Kuantan, Pahang pada Selasa dan Rabu, manakala seorang lagi dikebumikan pada 7 pagi tadi di Batu Pahat, Johor.

Loading...
Terkini