Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KEMAMAN: Operasi hari keempat mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih, di sini diteruskan.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, operasi melibatkan 174 anggota dari pelbagai agensi termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) selain turut dibantu orang awam.
Menurutnya, operasi pada hari ini diteruskan dengan pencarian di air menerusi selaman ke kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ melibatkan pasukan penyelam dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM dan Polis Marin PDRM.
Bagaimanapun, anggota penyelamat berdepan kesukaran ke lokasi berikutan terdapat cerucuk besi jambatan lama di dalam sungai yang boleh mendatangkan risiko kepada anggota selain boleh menyebabkan enjin bot rosak.
Artikel berkaitan : Tragedi kepala air : Operasi kali ini paling mencabar, berbahaya
“Kita akan kecilkan pencarian di sektor A dengan kekuatan seramai 20 orang melibatkan JBPM, PDRM dan unit anjing pengesan K9.
Artikel berkaitan : Hero Batang Kali kembali beraksi di Jeram Mawar
“Kita beri tumpuan sektor B dan C. Kaedah pencarian pada hari ini diperluas dengan carian secara darat dan ‘rafting’ dalam air,” katanya.
Mengulas lanjut, Azman berkata, pencarian di sektor B pula dipecahkan kepada dua subseksyen iaitu dengan keanggotaan masing-masing 30 dan 38 anggota.
Katanya, baki anggota SAR akan memberi perhatian di sektor C sehingga ke perangkap sampah di muka kuala Sungai Kemaman.
Dalam pada itu, Azman berkata, cuaca pada hari ini baik selain paras air sungai berada dalam keadaan normal.
“Semalam kita tak menerima sebarang hujan walaupun ada petunjuk awan gelap. Hari ini kita akan terus melakukan pencarian mencari dua lagi mangsa yang dipercayai lemas,” ujarnya.
Artikel berkaitan : Tragedi kepala air: Di mana Nur Fatin dan Fikri ?
Sebelum ini, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.
Mayat pertama, Azizah Eiyi, 40, ditemui jam 12.45 tengah hari Ahad kira-kira 24 km dari lokasi kejadian manakala Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, ditemui tersangkut kira-kira jam 3 petang hari yang sama.
Pada Isnin, ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Putri Aryana Umaira; 4, Putri Nurerina Natasya; 10, dan bapa mereka, Karim Abdullah, 39, yang ditemui lemas sudah disahkan identiti oleh keluarga mereka.
Sebelum itu, Muhammad Haziq Ziqree, 6, ditemui terapung oleh pasukan pencarian pada jam 11.05 pagi.
Pada Selasa, dua mangsa dikenal pasti sebagai Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan Putri Alleya Maisarah Karim,16 ditemui lemas dan merupakan mayat ketujuh dan kelapan dijumpai setakat ini.