comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi kepala air: Operasi kali ini paling mencabar, berbahaya 

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KEMAMAN : Anggota pasukan penyelamat dari pelbagai agensi yang terlibat dalam misi pencarian mangsa tragedi kepala air menganggap tragedi yang berlaku adalah sesuatu yang mengejutkan mereka sepanjang berkhidmat di dalam pasukan keselamatan.

Demi tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan, mereka terpaksa melupakan seketika keletihan dan keselamatan diri masing-masing bagi memastikan kesemua mangsa ditemui dengan segera.

Artikel berkaitan : Tragedi kepala air: Di mana Nur Fatin dan Fikri ?

Menurut anggota penyelamat, operasi pada kali ini adalah yang paling mencabar kerana pencarian melibatkan sektor kawasan pencarian yang besar.

Bagi seorang anggota penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Shariffudin Ali, kesukaran utama yang dihadapi ialah masalah talian telekomunikasi dan cuaca yang tidak menentu di mana boleh mendatangkan risiko bahaya.

“Keadaan muka bumi kawasan pencarian memang cukup mencabar dan berbahaya kerana apa saja kemungkinan boleh berlaku ketika operasi berlangsung.

“Paling bermasalah ialah sistem telekomunikasi dimana kami berada jauh dari kawasan yang mempunyai liputan telekomunikasi dan memang susah untuk kami berhubung dengan pusat kawalan operasi,” katanya.

Artikel berkaitan : Operasi SAR mangsa kepala air libat pencarian tebing, jeram sejauh 8km

Bagi anggota penyelamat dari Angkatan Pertahanan Awam (APM ), Nik Mohd Firdaus Nik Mohd Rizuan, operasi kali ini betul – betul mencabar dari segi fizikal dan mental setiap anggota.

Mengakui faktor keletihan menjadi isi utama, amanah yang digalas terpaksa diteruskan bersama rakan-rakan yang lain.

“Walaupun penat tapi kami kena lawan semua tu dan semua anggota sudah pun dipersiapkan dari segi ketahanan mental dan fizikal.

“Apa yang menjadi keutamaan ialah kami hendak memudahkan urusan keluarga mangsa yang mahu semua mangsa ditemui meskipun tidak lagi bernyawa,” katanya.

Bagi Mohd Syafiq Anas Mohd Salleh dari PDRM, meskipun tidak mengenali kesemua mangsa, kesedihan tetap dirasa apabila mengetahui kejadian yang berlaku melibatkan satu keluarga besar.

Artikel berkaitan : “Tunggu saya balik ye mak” jadi ungkapan terakhir salah seorang mangsa tragedi Jeram Mawar

“Sepanjang lima tahun berkhidmat, kejadian ini merupakan satu kejadian yang cukup meninggalkan kesan kepada saya.

“Sehingga kini saya tidak boleh bayangkan bila satu keluarga hilang dalam masa serentak dan saya tidak boleh bayangkan bagaimana kesemua mereka (mangsa) berhadapan dengan saat kematian mereka,” katanya.

Artikel berkaitan : 7 mangsa kepala air dikebumikan 

Operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari keempat disertai 200 agensi penyelamat dan sukarelawan termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam APM serta penduduk kampung.

Loading...
Terkini