BATU PAHAT: Jenazah mangsa lemas dalam tragedi fenomena kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman Muhammad Fikri Saliman, 24, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Kuda, Semerah Batu Pahat pukul 7 pagi tadi.
Terdahulu, van membawa jenazah Muhammad Fikri dari Terengganu tiba pada jam 4.15 pagi sebelum dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Parit Kuda sebagai persinggahan terakhir.
Jenazah mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman minggu lalu selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Parit Kuda, di sini, pagi tadi. pic.twitter.com/Wdhs06s1QV
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) July 8, 2023
Jenazah kemudiannya, dibawa ke Masjid Jamek Seri Pengkalan untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Kuda.
Jenazah Muhammad Fikri dikebumikan berdekatan arwah ibunya, Zaiton Rashid pada jam 7 pagi.
Abang arwah, Shaharizal, 44, melahirkan kesyukuran kerana urusan pengebumian berjalan lancar.
Katanya, walaupun menempuh perjalanan jauh, dia bersyukur kerana jenazah adiknya selamat tiba di kampung halamannya.
“Semua sudah selesai, saya berterima kasih pada semua pihak yang banyak membantu dan berkorban sejak hari pertama hingga selesai dikebumikan.
“Hanya Allah yang dapat membalas budi dan jasa mereka semua. Biarlah arwah tenang di sana kita sama doakan yang terbaik untuk adik saya,” katanya selepas majlis pengebumian.
Terdahulu mayat Muhammad Fikri yang juga tunang kepada Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, seorang daripada mangsa lemas ditemui jam 9.20 pagi pada Jumaat.
Mayatnya ditemui terbaring dalam keadaan lengkap berpakaian oleh pasukan mencari dan menyelamat selepas tujuh hari dilaporkan hilang.
Tragedi kepala air di Jeram Air Putih pada Sabtu lalu meragut sembilan nyawa, dengan seorang lagi masih hilang.