comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tragedi kepala air: Identiti mangsa dikenal pasti

 

TAPAH: Mangsa yang maut dalam tragedi kepala air di Sungai Kenjur, dekat Kampung Poh, Bidor, di sini, hari ini, sudah dikenal pasti.

Identiti wanita lemas dikenal pasti Aszura Bani, 37, manakala tiga anaknya yang hilang masing-masing berusia 2, 4 dan 7 tahun.

Difahamkan, mangsa sedang berkelah bersama tiga individu lain yang ditemukan selamat iaitu kakaknya, Aslinda Bani, 38, anak saudara, 11, dan pembantu rumah warga Indonesia, 30-an.

 

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi, berkata pihaknya menerima maklumat awal berkaitan kejadian itu pada jam 4.30 petang.

“Mayat si ibu ditemukan hanyut 600 meter dari tempat mereka berkelah.

“Pembantu rumah ditemukan selamat kerana sempat berpaut pada batu berjarak 100 meter dari kawasan mereka berkelah, manakala kakak dan anak saudara tidak hanyut,” katanya kepada media ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan tiga mangsa selamat turut dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.

Sehubungan itu, beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan melibatkan polis, pasukan menyelamat di air (PPDA), bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan unit anjing pengesan K9 dengan radius pencarian sejauh tiga kilometer dari tempat tujuh individu terbabit berkelah.

Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sudah didirikan di pekarangan Sekolah Kebangsaan Kampung Koh, selain kawasan kejadian dikawal ketat.

Tinjauan di lokasi mendapati, paras sungai mula menurun selepas hujan berhenti, namun arusnya kelihatan masih deras.

Operasi SAR ditangguhkan jam 7.30 malam dan dijadual disambung semula jam 8 pagi esok.

Loading...
Terkini