comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tragedi kepala air: Hanya 6 mayat ditemui, bukan 9 – Polis

KEMAMAN: Polis mengesahkan hanya enam mayat tragedi kepala air Jeram Air Putih, Kemaman ditemui sehingga petang ini, bukan sembilan seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, berkata kekeliruan timbul disebabkan masalah komunikasi berikutan lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang terletak jauh di dalam hutan.

Justeru katanya, pasukan SAR masih mengesan empat lagi mangsa yang masih hilang.

Dalam pada itu, identiti tiga lagi mangsa telah dikenal pasti, petang ini, menjadikan secara keseluruhan semua enam mayat yang ditemui sudah dikenal pasti.

Mereka ialah, Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Nurerina Natasya Karim, 10, yang ditemui jam 12.05 tengah hari tadi, selain bapa Karim Abdullah, 39, ditemui jam 1.55 tengah hari.

Sebelum ini, polis sudah mengenal pasti identiti mayat Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, yang ditemui terapung oleh pasukan SAR kira-kira jam 11.05 pagi tadi.

Malam tadi, polis mengesahkan identiti dua mayat adalah dua beranak iaitu Azizah Eiyi, 40, dan Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11.

Mayat Azizah ditemui terapung oleh orang ramai jam 12.45 tengah hari semalam dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer dari tempat kejadian.

Manakala mayat Muhammad Zulqarnain ditemui pada jam 5 petang tersangkut pada dahan pokok kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Operasi SAR hari ini ditangguhkan jam 5 petang tadi dan akan bersambung semula jam 8 pagi esok untuk mencari mangsa yang masih belum ditemui.

Mereka adalah Putri Balqis Izzati Abdul Rahman 18; Putri Alleya Maisarah Karim 16; Putri Nor Fatin Karim 14 dan Muhammad Fikri Saliman, 24 tahun.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Datuk Mazli Mazlan (kanan) semasa sidang media berhubung tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman, hari ini.

Sementara itu, petang tadi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar turut melawat pusat operasi SAR dan menyantuni ahli keluarga mangsa yang berada di lokasi.

Jelas beliau, kerajaan negeri melalui agensi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan menanggung kos pengurusan membawa pulang jenazah mangsa ke Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan.

“MAIDAM akan menanggung semua kos pengurusan jenazah. Selain itu, segala keperluan ahli keluarga mangsa termasuk penginapan, makan dan minum sepanjang berada di pusat operasi turut ditanggung” ujarnya.

Jelasnya, pada Rabu ini, Kerajaan Negeri akan mengadakan mesyuarat serta perbincangan bersabit tragedi terbabit termasuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi menjalankan siasatan secara menyeluruh bencana itu.

 

Loading...
Terkini