Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KEMAMAN: Tangannya menggigil, matanya sudah merah dan lebam.
Mungkin tidak cukup tidur dan masih trauma selepas adik tersayang Mohammad Fikri Saliman yang hilang dalam tragedi Jeram Mawar, Blok 6 Sungai Air Putih, di sini, belum ditemui.
Shahrizal Saliman, 40 tahun, kelihatan lesu sambil termenung jauh memikirkan nasib adiknya itu bersama seorang lagi mangsa, Putri Nur Fatin Karim, 14 tahun.
Artikel berkaitan : Tragedi kepala air: Di mana Nur Fatin dan Fikri ?
Pulanglah, abang rindu
Kasih sayang terhadap adiknya yang mesra dipanggil Fikri itu, Shahrizal sanggup datang jauh dari Batu Pahat, Johor, ke Pusat Kawalan Operasi (SAR) Balai Polis Air Putih, penuh debar menunggu perkhabaran.
“Harapannya, saya masih positif adik saya akan ditemui sebab itu saya masih tunggu di sini.
“Apa jua berita dan perkhabaran saya reda”, katanya.
Walaupun ahli keluarga 8 mangsa yang ditemukan sejak Ahad sehingga kelmarin sudah pulang ke Felda Lepar Hilir, Gambang, Kuantan untuk urusan pengebumian, Shahrizal dilihat masih tidak berputus asa.
Artikel berkaitan : Jenazah tragedi kepala air yang ke-8 dikebumikan
“Kalau ada rezeki dipertemukan dengan adik saya sama ada hidup atau mati saya mahu melihat sosok tubuh atau jasadnya buat kali terakhir”, ujarnya sambil menahan sebak.
Ujian besar buat keluarga kami
Shahrizal sekeluarga diuji dengan ujian yang sangat berat.
Pada 2005, ayahnya, Saliman Jonit, meninggal dunia akibat kanser peti suara.
Setahun selepas itu, kakak kesayanganya, Linda Azura Saliman bersama anak yang berusia 2 tahun 4 bulan, meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh di dalam tali air.
Kali ini, adiknya pula dikhuatiri hilang dalam tragedi Jeram Mawar.
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) masih berbaki 3 Hari lagi namun sehingga kini masih belum ada pentunjuk.
Laungan Azan
Jam 3.30 petang tadi, pasukan bomba membawa Shahrizal ke lokasi pencarian.
Laungan Azan berkumandang di tebing sungai mengiringi hati si abang yang tidak putus-putus berdoa agar diberi pentunjuk ke mana adiknya kini berada.
Sehingga jam 4.00 petang tadi, anggota penyelamat dari pelbagai agensi masih meneruskan Operasi SAR mencari Putri Nur Fatin Karim 14, dan Muhammad Fikri Saliman 24 tahun dengan kekuatan anggota seramai 279 orang.
Pencarian dibuat di Sektor A (lokasi kejadian) dari Menara Sapura sehingga ke jambatan lama Kampung Teladas, seluas 6.3 kilometer.
Manakala di Sektor B bermula dari belakang Sekolah Menengah Ayer Putih menghala ke ladang jagung di Pos Kawalan Hadapan (PKH) sehingga ke perangkap sampah Sungai Pinang.
Sementara itu di Sektor C, pihak bomba telah melengkapkan pencarian di kawasan itu namun hari ini hanya pemantauan dibuat menggunakan bot.
Manakala di Sektor A dan B, pihak berkuasa menggunakan khidmat Anjing Pengesan K9 dan unit dron.
Tragedi kepala air di Jeram Mawar telah mengorbankan 8 nyawa setakat ini.
Mayat pertama yang ditemui ialah Azizah Eiyi, 40, ditemui jam 12.45 tengah hari Ahad kira-kira 24 km dari lokasi kejadian manakala Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, ditemui tersangkut kira-kira jam 3 petang hari yang sama.
Pada Isnin, ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Putri Aryana Umaira; 4, Putri Nurerina Natasya; 10, dan bapa mereka, Karim Abdullah, 39, yang ditemui lemas sudah disahkan identiti oleh keluarga mereka.
Sebelum itu, Muhammad Haziq Ziqree, 6, ditemui terapung oleh pasukan pencarian pada jam 11.05 pagi.
Pada Selasa, kedua mangsa dikenali sebagai Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan Putri Alleya Maisarah Karim,16 ditemui lemas dan merupakan mayat ketujuh dan kelapan dijumpai setakat ini.