comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi kepala air: Di mana Nur Fatin dan Fikri?

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KEMAMAN : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa hilang diteruskan.

Selepas 5 hari tragedi kepala air di Jeram Mawar disahkan merentap 8 nyawa, dua lagi mangsa iaitu Putri Nur Fatin Karim, 14 tahun dan Muhammad Fikri Salinan, 24 tahun, masih belum ditemui.

Artikel berkaitan : Kepala air Jeram Mawar paling dahsyat dan menggerunkan

Malam tadi operasi SAR dilakukan jam 9 malam hingga 12 tengah malam tidak berhasil mencari dua mangsa terbabit.

SAR hari ke-4 diteruskan pagi ini dan masih tertumpu di kawasan pencarian seluas 35 kilometer dibahagikan kepada 3 sektor.

Dengan kekuatan anggota hampir 200 orang dibantu penduduk kampung, sektor A dan sektor B menjadi kawasan spot pencarian utama hari ini.

Artikel berkaitan : Hero Batang Kali kembali beraksi di Jeram Mawar

Semalam, mayat ke-8 disahkan sebagai Putri Alleya Maisara Karim, 16 tahun, ditemui jam 3 petang.

Mayat ditemui di sektor A (SAR) 2 Kilometer dari lokasi kejadian 500 meter dari mayat kedua iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal, 11 tahun yang ditemukan pada Ahad.

Mayat Putri Alleya dilaporkan tersangkut di beting pasir dua meter dari tebing sungai yang membentuk pulau kesan dari kepala air.

Terdahulu, mayat mangsa pertama, Azizah Eiyi, 40, ditemukan kira-kira pukul 12.45 tengah hari kira-kira 24 kilometer dari lokasi kejadian sebelum mayat anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, ditemukan empat jam kemudian hanya dua kilometer dari lokasi kejadian.

Hari kedua operasi mencari dan menyelamat dilakukan, mayat ketiga iaitu Muhammad Haziq Ziqree, 6, ditemukan pada pukul 11.05 pagi, kira-kira 18 kilometer dari lokasi kejadian, sementara mayat keempat dan kelima iaitu Putri Aryana Umaira,4, dan kakaknya, Putri Nurerina Natasya, 10 ditemukan sejam kemudian iaitu kira-kira pukul 12.05 tengah hari, pada timbunan kayu yang sama pada jarak enam kilometer.

Mayat bapa mereka, Karim Abdullah, 39, ditemukan tiga jam kemudian iaitu pukul 3.15 petang hanya satu kilometer dari lokasi kejadian manakala mayat ketujuh iaitu Putri Balqis Izzati Abdul Rahman,18, ditemui hari ini pukul 7.45 pagi  berhampiran sungai di belakang Masjid Kampung Dadong, iaitu kira-kira 24 kilometer.

Loading...
Terkini