comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi kepala air: Abang sedih, tidak sempat menyaksikan adik bersanding

Shahrizal Saliman, abang kepada Muhammad Fikr

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN : Abang kepada Muhammad Fikri Saliman, 24, yang masih belum ditemui dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar Air Putih menganggap insiden yang menimpa adiknya sebagai ujian kedua paling berat dalam hidupnya.

Shahrizal, 40, berkata, tahun lalu dia diuji dengan kehilangan ibunya, Zaiton Rasib, 63 tahun yang meninggal dunia akibat keuzuran.

“Ini dugaan terbesar saya yang kedua, terlalu berat untuk saya terima, namun saya redha dengan ujian ini.

“Saya juga berasa satu kerana tidak sempat melihat adik kesayangan bersanding dan kedua-dua bakal pengantin itu terkorban dalam kejadian kepala air di Jeram Mawar”, katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih hari ini.

Shahrizal berkata, dia yang tinggal di Kampung Parit Kuda, Batu Pahat, Johor rapat dengan Muhammad Fikri yang merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik selepas kehilangan ibunya berikutan mereka tinggal bersama.

Menurutnya, dia tiba di Kemaman kira-kira pukul 2.00 pagi tadi ditemani beberapa orang saudaranya untuk menunggu perkhabaran pencarian adiknya.

“Saya harap adik saya ditemui selamat dan saya masih percaya dia masih hidup. Bagaimanapun, saya terima apa sahaja keadaannya, sekurang-kurangnya saya mahu lihat jasadnya,” katanya.

Shahrizal berkata, Muhammad Fikri berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan bersama Putri Balqis Izzati Abdul Rahman yang ditemui terkorban dalam insiden itu, pada Disember ini.

“Dia (Muhammad Fikri) bekerja sebagai pembantu kedai makan, dia sanggup mengikat perut dan bekerja keras, mengumpul duit untuk berkahwin.

“Sepatutnya dia mengikat tali pertunangan dua tahun, namun dia mahu cepat berkahwin. Tapi dia masih belum buat apa-apa persiapan. Saya ada juga bertanya sama ada dia cukup wang untuk berkahwin, namun dia hanya diam, mungkin tak nak susahkan sesiapa,” katanya.

Menurut Shahrizal, Muhammad Fikri ke rumah tunangnya di Felda Lepar Hilir 3 pada Khamis lalu untuk beraya dengan keluarga tunangnya.

“Saya memang tidak tahu dia datang ke sini untuk berkelah, saya hanya tahu dia beraya dengan keluarga tunangnya sahaja, mungkin mereka rancang untuk berkelah ketika bersama keluarga itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga termasuk Muhammad Fikri dikhuatiri hilang ekoran insiden kepala air berikutan hujan lebat berlaku.

Setakat ini, tujuh mangsa telah ditemui sejak Ahad iaitu Karim Abdullah, 39 dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim,6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4 dan Putri Balqis Izzati.

Selain Muhammad Fikri, dua lagi mangsa yang belum ditemui iaitu Putri Alleya Maisarah Karim, 16 dan Putri Nor Fatin Karim, 14 tahun.

Loading...
Terkini