Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah
KEMAMAN: Sembilan mayat mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Blok 6 Sungai Air Putih di sini telah ditemukan setakat jam 1 tengah hari tadi.
Cuma seorang masih hilang.
Artikel berkaitan: Tragedi kepala air: Seluruh keluarga gembira pergi berkelah, bawa bakul makanan, alatan memasak
Satu daripada mayat itu telah disahkan identiti sebagai Muhammad Haziq Ziqree Karim 6 tahun, ditemui jam 11.05 pagi tadi.
Mangsa ditemui di Sungai Teladas dan Sektor B operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Mayat Muhammad Haziq Ziqree telah pun dibawa ke Pusat Kawalan Operasi SAR Balai Polis Air Putih.
Manakala enam lagi mayat belum disahkan identiti.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Tragedi kepala air: Mayat ketiga dan keempat ditemui
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi SAR Balai Polis Air Putih mengesahkan perkara itu.
Jelas beliau, kesemua mayat ditemui di Sektor A dan Sektor B dalam kawasan lingkungan 25 kilometer dari lokasi kejadian.
“Kesemua mayat itu ditemui di Sektor A dan Sektor B. Ada yang dijumpai di tebing. Ada yang tersangkut di pokok dan beberapa dijumpai terapung atas air,” katanya.
Difahamkan enam lagi mayat yang ditemui dalam proses untuk diangkat sebelum dibawa ke pusat operasi berkenaan.
Mayat yang ditemukan itu disahkan adalah dua mayat lelaki dewasa, satu mayat wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua mayat kanak-kanak perempuan.
Artikel berkaitan: Mayat mangsa lemas tragedi kepala air dibawa ke HSNZ
Dalam kejadian di Jeram Mawar itu, 10 sekeluarga dilaporkan dihanyutkan kepala air pada kira-kira jam 6.00 petang kelmarin (Sabtu) ketika mereka sedang berkelah.
Semalam, mayat pertama ditemui dikenali sebagai Azizah Eiyi 40 tahun dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim 11 tahun kira-kira jam 12.45 tengahari dan 5.00 petang.
Mayat Azizah ditemukan terapung dan dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari lokasi kejadian sementara Muhammad Zulqarnain Haikal ditemukan tersangkut pada dahan pokok kira-kira 2 km dari tempat kejadian.
Mangsa yang belum disahkan identiti setakat ini adalah ketua keluarga itu dikenali sebagai Karim Abdullah 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; dan Putri Aryana Umaira Karim, 4 tahun.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Operasi SAR diperluaskan sehingga 35km hingga muara Sungai Kemaman
Turut disahkan terkorban atau hilang ialah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24 tahun.
Muhammad Fikri berasal dari Batu Pahat, Johor manakala sembilan sekeluarga itu datang dari Felda Lepar Hilir, Kuantan.
Berita lanjut menyusul.