Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah
KEMAMAN: Operasi SAR mencari dua mangsa hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Blok 6 Sungai Air Putih diteruskan pagi ini.
Misi mencari dua mangsa hilang iaitu Putri Nur Fatin Karim 14, dan Muhammad Fikri Saliman 24, bermula jam 9.00 pagi tadi.
Pencarian dibuat di Sektor A (lokasi kejadian) dari Menara Sapura sehingga ke jambatan lama Kampung Teladas, seluas 6.3 kilometer.
Manakala di Sektor B bermula dari belakang Sekolah Menengah Ayer Putih menghala ke Ladang Jagung di Pos Kawalan Hadapan (PKH) sehingga ke perangkap sampah Sungai Pinang.
Sementara itu di Sektor C, pihak bomba telah melengkapkan pencarian di kawasan itu namun hari ini hanya pemantauan dibuat menggunakan bot.
Menurut Ketua Zon 2 (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan II, Azman Alias berkata, di Sektor A dan B, pihaknya turut menggunakan khidmat Anjing Pengesan K9 dan unit dron.
“Kami akan pecahkan kepada 14 kumpulan terdiri dari 279 anggota.
“Setiap kumpulan akan diketuai oleh seorang pegawai di setiap lokasi pencarian,” katanya ketika ditemui Buletin TV3 di Pusat Kawalan Operasi (SAR) Balai Polis Air Putih.
Ketika ini hujan renyai melanda lokasi pencarian sejak jam 7.00 pagi tadi.
Tragedi kepala air di Jeram Mawar telah mengorbankan 8 nyawa setakat ini.
Mayat pertama, Azizah Eiyi, 40, ditemui jam 12.45 tengah hari Ahad kira-kira 24 km dari lokasi kejadian, manakala Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, ditemui tersangkut kira-kira jam 3 petang hari yang sama.
Pada Isnin, mayat ketiga-tiga mangsa Putri Aryana Umaira; 4, Putri Nurerina Natasya; 10, dan bapa mereka, Karim Abdullah, 39, yang ditemui disahkan identiti oleh keluarga mereka.
Sebelum itu, Muhammad Haziq Ziqree, 6, ditemui terapung oleh pasukan pencarian pada jam 11.05 pagi.
Pada Selasa, dua mangsa dikenali sebagai Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18 dan Putri Alleya Maisarah Karim,16 ditemui lemas dan merupakan mayat ketujuh dan kelapan dijumpai setakat ini.