comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi Jeram Mawar: polis tutup pusat kawalan tempat kejadian

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN: Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Polis di Balai Polis Air Putih yang ditubuhkan susulan kejadian kepala air yang dipercayai meragut 10 nyawa di sini ditutup bermula jam 5.00 petang tadi.

Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diambil alih oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bermula esok.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan, pos kawalan itu ditutup berikutan operasi SAR dua lagi mangsa iaitu Puteri Nur Fatin Karim, 14 tahun dan Muhammad Fikri Saliman, 24 tahun tidak mempunyai sebarang petunjuk dan juga disebabkan faktor cuaca.

“Pos Kawalan Operasi Polis kita tutup hari ini dan polis tetap akan bantu pihak bomba lakukan SAR. Kita terpaksa tutup disebabkan faktor cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia bersabit amaran hujan lebat dan ribut petir berlaku jam 3.54 petang tadi sehingga jam 7 malam ini,” katanya.

Jelas Hanyan, semua anggota penyelamat, NGO dan penduduk kampung dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Saya menasihatkan semua yang terlibat ikut SOP. Kita tidak mahu ada tragedi dalam tragedi”, katanya lagi dalam sidang media di Pusat Kawalan Operasi SAR Balai Polis Air Putih.

Tambah Hanyan, mayat mangsa ke-8 yang ditemui jam 3.00 petang semalam iaitu Putri Alleya Maisara Karim, 14 tahun akan di serahkan kepada keluarga beliau jam 7.00 petang ini untuk dikebumikan di Felda Lepar Hilir, Gambang, Kuantan.

Dalam perkembangan lain, JBPM Terengganu mengesahkan Pusat Kawalan Operasi (SAR) Bomba di Balai Polis Air Putih masih dibuka.

Menurut Ketua Zon 2 (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan II, Azman Alias pihaknya telah menambah dua lagi pusat kawalan hadapan di Pasir Mina dan Kampung Seberang Tayor.

“Kami akan meneruskan SAR di Sektor A (lokasi kejadian) dan Sektor C di sepanjang Sungai Teladas sehingga ke Kuala Kemaman,” katanya.

Loading...
Terkini