comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tragedi jatuh bot: Amrullah, Najmi akhirnya ditemui lemas

 

TUMPAT : Selepas dilaporkan hilang hampir tiga hari, mayat dua mangsa tragedi jatuh bot di Sungai Kelantan akhirnya ditemui.

Mayat Amrullah Fitri Afendi, 10, ditemui pasukan penyelamat kira-kira jam 8.15 pagi manakala mayat bapa saudaranya, Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, pada jam 9.05 pagi.

Foto: NSTP

Menurut Ketua Polis Daerah Tumpat, Ketua Polis Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah, jasad kedua-dua mangsa terapung sebelum diselamatkan pihak berkuasa.

Mayat Amrullah ditemui di tebing kira-kira 900 meter dari Pusat kawalan Tempat Kejadian (PKPK).

Foto: NSTP

Mayat bapa saudaranya pula ditemui di bawah jambatan kira-kira 1.1 kilometer dari pos pencarian.

“Kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Misi mencari serta menyelamat juga ditamatkan”, katanya.

Jenazah Wan Muhamad Najmi akan dikebumikan di sebelah pusara isterinya, Allahyarham Nor Awadah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kutan Sungai manakala Amrullah Fitri akan dikebumikan di Kampung Patek, Kadok selepas Solat Zohor.

Dalam kejadian   jam 6.45 petang kelmarin, enjin bot dinaiki  Wan Muhamad Najmi dan isterinya Nor Awadah Sulong, anak perempuan mereka, Wan Nur Ameena Wan Muhamad Najmi, 14 bulan serta anak saudara, Amrullah Fitri Afendi, 10, tiba-tiba mati menyebabkan tiga daripada mereka terpelanting dan terjatuh ke dalam sungai.

Nor Awadah, 30, yang ditemui lemas dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kutan Sungai, petang semalam.

Sementara itu, bapa Amrullah, Afendi Ismail, 43, meluahkan rasa syukur atas penemuan anak lelaki dan adik iparnya itu.

Afendi, 43, berkata, sejak kehilangan kedua-dua ahli keluarganya itu, solat hajat tidak henti dibuat sama ada membabitkan keluarga, penduduk kampung atau sekolah anaknya itu.

“Laungan azan juga sentiasa dibuat di tebing sungai dengan harapan Abang Ngah (Amrullah) dan Najmi ditemukan walau dalam apa jua keadaan.

“Doa kami akhirnya termakbul apabila pagi ini mereka berdua ditemui selepas kelihatan terapung di permukaan sungai dalam jarak yang tidak jauh antara satu sama lain.

“Kami reda menerima takdir ini, walau ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa, sekurang-kurangnya mereka berdua ada pusara,” katanya.

Afendi berkata, dia dan isteri, Wan Norhasliza Wan Taib, 41, reda dengan kehilangan satu-satunya anak lelaki mereka.

@buletintv3

Tragedi jatuh bot: Amrullah, Najmi akhirnya ditemui lemas #beritaditiktok #buletintv3 #lemas

♬ original sound – BuletinTV3 – BuletinTV3

Loading...
Terkini