Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tragedi Elmina: 30 minit rakaman terakhir pesawat diperoleh

PUTRAJAYA: Rakaman suara 30 minit dalam komponen ‘memory puck’ pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu, berjaya diekstrak di makmal di Florida, Amerika Syarikat (AS) semalam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, hasil daripada ekstrak itu, Biro Keselamatan Kemalangan Udara (BSKU) berhasil mendapatkan rakaman suara yang jelas serta berada dalam keadaan baik.

“Mengenai nahas pesawat di Elmina, semalam, dibantu jurutera di sana (Florida) membantu mendapatkan data, dan hasilnya data itu berjaya diekstrak daripada ‘memory puck’.

“Jadi, semua rakaman suara dalam pesawat terutama 30 minit terakhir sebelum nahas itu berlaku, berjaya dimuat turun,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Artikel berkaitan: Nahas Elmina: Hafiz terus berbakti pada keluarga meskipun sudah tiada – Bapa

Katanya pasukan (BSKU) berdepan kesukaran untuk pulang ke Malaysia kerana ketika ini berlaku taufan di Florida.

Mereka sepatutnya  berlepas pulang selepas data diekstrak tetapi  tidak boleh berbuat demikian.

“Namun data itu sudah dihantar pulang menerusi sistem email yang selamat dan kita sudah memiliki rakaman suara terbabit di Malaysia, walaupun ia tidak dibawa pulang secara fizikal,” katanya.

Beliau berkata, langkah seterusnya  ialah melakukan analisis dan menghasilkan transkrip daripada rakaman suara berkenaan.

Pihaknya menjangkakan laporan awal berhubung nahas pesawat berkenaan dapat dikeluarkan dan dipaparkan di laman sesawang Kementerian Pengangkutan kira-kira dua minggu lagi.

“Saya tidak mahu membuat sebarang rumusan sekarang ini dan bukan untuk saya membuat rumusan itu. Walaupun pihak BSKU ada memberikan sedikit rumusan, saya tidak mahu membuat apa-apa pengumuman atau spekulasi.

“Biar pakar kita membuat analisis secara terperinci supaya laporan awal dapat dikeluarkan terlebih dahulu dan saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan sehingga pihak BSKU membuat laporan mereka,” katanya.

Dalam kejadian jam 2.50 petang, 17 Ogos lalu, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat terbabit terhempas di Elmina.

Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat manakala dua lagi ialah pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu.

ADUN Pelangai Datuk Seri Johari Harun antara  yang terkorban.

Loading...
Terkini