Tumpuan :
Kemalangan

Tragedi bot bertembung: Bot nelayan dipercayai digunakan bawa penumpang

 

Oleh Shaharil Kadir

LUMUT: Tragedi 2 bot bertembung yang mengorbankan tiga penumpang wanita di perairan Lumut-Pangkor dekat Manjung berhampiran Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) malam semalam, dipercayai berlaku dalam keadaan kedua-dua bot disyaki dipandu laju dengan sebuah daripada bot dipercayai tidak memasang lampu.

Kedua-dua bot terbabit adalah bot nelayan, dengan bot yang membawa penumpang yang terdiri daripada 9 pelancong dari Pulau Pinang dan Johor serta 8 penduduk tempatan dari sekitar Segari, Sitiwan dan Lumut.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, keadaan cuaca dilaporkan baik dan laut tidak bergelora.

Sementara itu, Waris mangsa yang ditemui di Hospital Seri Manjung memaklumkan mangsa dalam perjalanan ke Pangkor bagi menghadiri upacara keagamaan di sebuah kuil di pulau berkenaan.

Mangsa yang maut dikenali sebagai A. Vijayaletchumi, 43, A. Elesbeth Rani, 41 dan G. Divapiria, 26.

Menurut K. Siva Rao yang ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Seri Manjung, mendiang Vijayaletchumi yang juga ibu saudaranya datang berkunjung ke Pulau Pangkor bersama anak lelakinya dari Johor.

“Mereka ke Pangkor kerana ada upacara di Kuil, anak Vijayaletchumi berusia 18 juga terjatuh dalam laut tetapi selamat.” katanya.

Katanya, keluarga berkenaan bersama beberapa rakan yang lain menaiki bot nelayan terbabit sebelum bot itu bertembung sebuah bot yang lain.

Mayat mediang Vijayaletchumi dituntut ahli keluarganya kira-kira jam 4.30 petang selepas menjalani proses bedah siasat dan dibawa ke Sungai Wangi di Sitiawan untuk disemadikan.

Manakala mayat mendiang Elesbeth Rani, dan Divapiria, dituntut ahli keluarga masing-masing pada 1 tengah hari, hari ini dan dibawa pulang ke Segari, Pantai Remis, di sini.

Dalam kejadian malam Isnin, sebuah bot membawa 17 penumpang dengan seorang tekong dari Lumut ke Pangkor, yang berlanggar dengan sebuah lagi bot dinaiki seorang tekong dan seorang penumpang dari arah bertentangan.

Loading...
Terkini