KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Pakistan susulan kejadian letupan bom di stesen keretapi Quetta di negara itu yang mengorbankan 24 nyawa hari ini.
Dalam satu kenyataan dimuat naik di laman Facebook, Anwar menyifatkan tindakan terbabit sebagai tindakan kejam dan ganas.
“Saya amat sedih dengan kejadian pengeboman yang ngeri di Quetta, Pakistan yang mengorbankan 24 nyawa dan ramai lagi cedera.
“Bagi pihak Malaysia, saya zahirkan ucapan takziah kepada rakyat Pakistan yang bersedih dengan kejadian yang dasyat dan menyebabkan kehilangan nyawa ini,” jelasnya.
Tambah Anwar, tindakan menyasarkan orang awam dan anggota keselamatan satu peringatan jelas bahawa perbuatan kejam dan ganas ini adalah ancaman berterusan yang ditimbulkan berpunca fahaman dan ideologi ekstremisme.
Ia sekali gus cubaan menjejaskan kemajuan dan keamanan masyarakat Islam.
“Malaysia teguh berdiri dan bersolidariti dengan kerajaan Pakistan dalam usaha menangani dan menentang keganasan,” tegasnya lagi.
Menurut agensi antarabangsa, kejadian letupan bom itu berlaku kira-kira jam 8.45 pagi waktu tempatan di stesen keretapi wilayah Balochistan, Quetta.
Ketika kejadian, kira-kira 100 orang awam berada di platfom stesen berkenaan sebelum bom terbabit meletup.
25 mangsa terbunuh termasuk 14 anggota tentera Pakistan serta mencederakan 50 yang lain.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.