comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi Batang Kali: Waris 11 mangsa kematian telah menerima Bantuan Wang Ihsan berjumlah RM110,000

Oleh Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Setakat hari ini, waris kepada 11 mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, 16 Disember lalu, telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) Kematian berjumlah RM110,000.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata urusan penyaluran BWI Kematian kepada 20 lagi waris mangsa yang meninggal dunia dan BWI kepada 45 mangsa yang selamat akan disalurkan dalam minggu ini.

Jelas beliau, bagi mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi ini, keluarga atau waris setiap mangsa akan menerima BWI Kematian RM10,000.

Manakala untuk mangsa yang selamat akan menerima BWI RM1,000 bagi setiap keluarga.

Beliau memaklumkan perkara itu selepas menyantuni dan menyampaikan sumbangan tersebut kepada dua waris mangsa yang maut.

RM20,000 diberikan kepada Tong Chee Kong yang kehilangan isteri Lai Lee Koon dan anaknya Tong Kai En.

RM10,00 lagi dihulurkan kepada Siti Esah Hassan ibu kepada mangsa Nurul Azwani Kamaruzaman.

25 Disember lalu, waris dua buah keluarga melibatkan lapan mangsa yang maut yang tinggal di Melaka, telah menjadi penerima pertama dan kedua bantuan itu.

Sumbangan kepada waris dua keluarga itu disampaikan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Tragedi pada awal pagi 16 Disember lalu membabitkan 92 mangsa dengan 61 daripada mereka terselamat, 31 yang lain terdiri daripada 18 dewasa dan 13 kanak-kanak terkorban akibat runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan.

Loading...
Terkini