Tumpuan :
Nasional

Tragedi Batang Kali: “Sepatutnya Nurul Azwani balik semalam”

Nor Azman (kanan) bersama ibu Allahyarham Nurul Azwani (tiga dari kanan).

SUNGAI BULOH: “Sepatutnya Nurul Azwani membawa ibunya, Siti Esah Hassan, 53, pulang ke kampung di Kuantan, Pahang, untuk berjumpa keluarga sebab cuti sekolah, semalam, namun sudah ajalnya dia meninggal dunia akibat runtuhan tanah.”

Demikian kata Nor Azman Mat Zain, 48, iaitu sepupu kepada Nurul Azwani Kamarulzaman, 31, mangsa yang meninggal dunia akibat runtuhan tanah di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali, semalam.

Mangsa antara 21 korban insiden dan enam yang sudah dikenal pasti berdasarkan kenyataan dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), hari ini.

Nor Azman berkata, Allahyarham yang bekerja di kantin Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong mengikut rombongan perkhemahan sekolah itu sejak Rabu lalu.

“Kami sekeluarga tahu dia mengikuti rombongan perkhemahan sekolah itu. Dia bekerja di kantin sekolah berkenaan.

“Ini juga kali pertama dia terbabit dengan aktiviti perkhemahan. Dia pergi Rabu lalu dan ikutkan dia balik semalam,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini.

Nor Azman berkata, mereka yang mendapat maklumat mengenai kejadian itu melalui laporan berita bergegas ke beberapa hospital untuk mencarinya.

Menurutnya, ketika itu mereka masih tidak tahu keadaan terkini Nurul Azwani.

“Pada mulanya kami ke Hospital Selayang, tetapi tiada nama. Kemudian datang sini (Hospital Sungai Buloh) pun tak ada.

“Namun, selepas mendapat maklumat mangsa yang meninggal dunia dibawa ke sini, saya bergegas semula ke sini sejak semalam.

“Mak arwah dan keluarga lain pula baru datang petang tadi,” katanya.

Katanya, kali terakhir mereka sekeluarga berjumpa arwah Rabu lalu.

“Di sini (Kuala Lumpur) arwah tinggal bersama ibunya. Arwah yang belum berkahwin juga yang menjaga ibunya selepas kematian bapa.

“Ketika dimaklumkan berita ini ibunya sangat terkejut, sedih dan tidak terkata. Apa yang berlaku memang tak boleh jangka.

“Ini adalah takdir. Kalaulah tahu perkara ini nak terjadi, memang kita tak suruh dia pergi,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga dan seorang yang periang.

“Arwah ada tiga beradik, dia anak sulung. Adiknya sudah berkahwin. Arwah periang dan sederhana saja orangnya. Dia pun tidak ada masalah dengan orang lain,” katanya.

Dalam masa sama, dia berharap proses membawa pulang jenazah dapat diselesaikan hari ini.

“Selepas semuanya selesai di sini, Insya-Allah jenazah akan dibawa ke Masjid Kampung Batu untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Pihak kariah pun sudah dimaklumkan,” katanya.

Loading...
Terkini