HULU SELANGOR: “Saya terdengar jeritan orang meminta tolong sebelum ternampak ada separuh badan yang hanya nampak tangan dan kaki tertimbus dalam runtuhan tanah.
“Saya dan rakan terus menggali tanah itu dengan tangan kami untuk membantu wanita itu dan anaknya,” kata Chong, 28.
Chong antara yang terselamat dalam runtuhan tanah di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di sini, hari ini.
Lelaki berasal dari Melaka itu, berkata runtuhan tanah berlaku di tapak perkhemahan bahagian zon A dengan hampir keseluruhan kawasan itu musnah.
Beliau berkata, dia bersama 18 ahli keluarga dan rakan berkhemah di zon B yang tidak terjejas teruk dan semua kumpulannya selamat.
“Sebelum itu, kami terdengar bunyi dentuman kuat sebelum runtuhan tanah merosakkan khemah.
“Kami keluar menyelamatkan diri dan tiba-tiba saya terdengar jeritan wanita meminta tolong dan ternampak ada separuh badan wanita tertimbus.
“Tanpa berlengah saya dan seorang lagi rakan lelaki terus menggali tanah dengan tangan selama 10 hingga 15 minit sebelum mangsa dan anak perempuannya diselamatkan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Balai Polis Hulu Yam Bharu di sini.
Chong berkata, dia tidak mengenali mangsa itu, namun bersyukur dua beranak itu dapat diselamatkan.
“Tapak perkhemahan itu memang cantik tetapi runtuhan menyebabkan semua kawasan sudah menjadi seperti rata.
“Saya tak pasti berapa ramai mangsa terbabit dalam kejadian ini, tetapi percaya masih ada lagi di bawah (tertimbus),” katanya.
Menceritakan detik kejadian itu, beliau berkata, kejadian berlaku pada jam 2 pagi dan ketika itu mereka sedang tidur di khemah masing-masing.
“Ketika tanah runtuh saya terdengar seperti dentuman kilat dan runtuhan tanah dirasai berada di kepala. Kami kemudiannya terus keluar untuk selamatkan diri. Malam tadi hujan cuma renyai.
“Saya bersyukur kumpulan kami semua selamat, cuma khemah saya saja koyak dalam kejadian itu. Kami datang ke tapak perkhemahan itu sejak kelmarin dan sepatutnya pulang hari ini,” katanya.
Sementara itu, Teh Lynn Xuan, 22, berkata ketika kejadian dia hanya tidur-tidur ayam dan terdengar bunyi kuat seperti batu berguling serta air menitis di luar khemahnya.
Katanya, dia juga berkhemah di bahagian zon B dan datang ke tapak itu untuk bercuti bersama 20 lagi keluarganya dari Melaka.
“Kejadian menyebabkan khemah tertolak hingga kaki kami naik ke atas ketika tidur dan ia berlaku dengan pantas,” katanya sambil memberitahu semua ahli kumpulannya juga selamat.