BATANG KALI: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan turun padang bagi melihat sendiri perkembangan operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di sini, pagi ini.
Baginda yang meluangkan masa kira-kira 30 minit turut diberi taklimat mengenai kejadian tanah runtuh itu oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, sebelum berangkat pulang jam 10.50 pagi.
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli meninjau tapak lokasi tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan Fathers' Organic Farm, Gohtong Jaya Batang Kali.@BuletinTV3 pic.twitter.com/PkoN2Bbe2b
— Hamdi Fahmi (@hamdiNewsMPB) December 17, 2022
Operasi mengesan baki 12 mangsa yang masih hilang dalam insiden itu disambung semula kira-kira jam 7.30 pagi selepas ditangguhkan malam tadi kerana hujan.
Jumlah korban setakat ini masih 21 orang .
61 lagi diselamatkan dalam tragedi awal pagi semalam yang dilapor membabitkan keseluruhan 94 orang.