Tumpuan :
Nasional

Tragedi Batang Kali: Mayat ke-25 ditemui pada kedalaman 17 meter

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemukan mayat ke-25 tragedi tanah runtuh Batang Kali iaitu seorang kanak-kanak perempuan malam tadi. – FOTO: Ihsan Bomba Selangor

Oleh Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

Hulu Selangor: Mayat ke-25 mangsa tragedi tanah runtuh Father’S Organic Farm, Batang Kali, Selangor yang dijumpai jam 10.49 malam tadi, ditemui tertimbus pada kedalaman 17 meter dari aras tanah.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata mangsa ditemui di sebalik batu besar.

“Sebelum ini kita sudah gali, namun rupanya kedalamannya lebih tinggi daripada jangkaan kita. Bila kita gali dengan kedalaman lebih 16 meter, air keluar membuak-buak dan mangsa ditemui di tepi batu besar sebab itu proses pencariannya agak lambat.

“Kita beranggapan ada lagi mangsa dan keluarganya yang berada di sekitar kawasan terbabit” katanya pada sidang media di kawasan operasi mencari dan menyelamat.

Tambahnya dengan petunjuk baharu semalam, pasukan penyelamat akan membuat pengorekan lebih dalam.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah memaklumkan mangsa berumur dalam lingkungan 6 hingga 10 tahun.

“Ketika ditemui, kanak-kanak perempuan itu ditemui dengan berpakaian lengkap baju tidur berwarna merah jambu.

“Berdekatan mangsa juga terdapat empat beg yang mengandungi pakaian dan komputer riba namun tiada pengenalan diri bersama mayat”, katanya.

Mayat  yang belum dikenalpasti itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

Loading...
Terkini