comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi Batang Kali: Mayat budak perempuan, lelaki bersama anjing dituntut keluarga

Suffian (kanan) ketika sidang media operasi SAR tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali. – FOTO: NSTP

BATANG KALI: Mayat dua mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini, yang ditemukan semalam dan kelmarin sudah dikenal pasti identiti dan dituntut keluarga masing-masing.

Ia membabitkan mayat kanak-kanak perempuan yang juga mangsa ke-25 tragedi itu, selain mayat ke-26 iaitu lelaki yang ditemukan bersama dua anjing pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui malam kelmarin dituntut keluarganya, semalam untuk proses pengebumian sebalik selesai pengecaman dan bedah siasat.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama kanak-kanak terbabit.

“Satu lagi mayat iaitu seorang lelaki dewasa yang ditemui pagi semalam bersama anjingnya, juga sudah dituntut keluarganya pagi ini di Hospital Sungai Buloh (HSB).

“Lelaki itu adalah salah seorang mangsa yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sebelum ini. Setakat ini, kita menerima tiga laporan berkenaan orang hilang membabitkan insiden ini,” katanya dalam sidang media di lokasi, hari ini.

Semalam, BH melaporkan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan berpelukan dengan dua anjing peliharaannya di Sektor B (Farm View) kira-kira jam 11.16 pagi.

Menurut Persatuan Haiwan Malaysia, mangsa yang juga pencinta haiwan itu dikenali sebagai Eric Wong Chai Chong dan difahamkan, mangsa berkhemah di lokasi kejadian bersama tiga ekor anjingnya.

Terdahulu kelmarin pada operasi SAR hari kelima mayat seorang budak perempuan ditemui kira-kira jam 11.15 malam tertimbus pada kedalaman lebih 17 meter dari aras tanah di Sektor C (Riverside).

Suffian dilaporkan berkata, kanak-kanak itu dianggar berusia antara 6 hingga 10 tahun ditemukan berdekatan batu yang dianggarkan lebih besar daripada jengkaut.

Terkini hari ini, empat lagi mayat ditemukan dalam satu khemah di kedalaman kira-kira 7 meter.

Berdasarkan rekod, sehingga kini 30 mangsa disahkan maut, manakala tiga lagi masih dikesan susulan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan yang berlaku pada jam 2.27 pagi Jumaat lalu.

Loading...
Terkini