Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tragedi Batang Kali: Enam guru baharu bakal berkhidmat di SJKC Mun Choong

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) sudah mengenal pasti calon untuk menggantikan enam guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, yang meninggal dunia dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di Batang Kali.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran JPWPKL, Abdul Aziz Md Hashim, berkata semua guru terbabit sudah dihubungi dan diminta untuk bersiap sedia memulakan tugas di sekolah terbabit.

Katanya, semua enam pengganti itu adalah guru baharu dan akan memulakan sesi persekolahan bagi 2023.

“Mereka dihubungi secara individu dan masih belum melaporkan diri secara fizikal lagi.

FOTO: NSTP

“Namun, mereka sudah tahu peranan masing-masing sebagai bakal pendidik dan bersedia untuk berkhidmat. Jadi, sesi persekolahan SJKC Mun Choong akan bermula seperti biasa pada 3 Januari depan,” katanya ketika ditemui pada majlis memperingati mangsa tragedi itu, semalam.

Abdul Aziz berkata walaupun SJKC Mun Choong berdepan kehilangan ramai guru, ia tidak akan menjejaskan tugasan bagi sesi persekolahan baharu.

Selain itu, katanya, tender kantin sekolah juga sudah dibuka dan sekolah itu akan menerima pengendali kantin yang baharu, susulan pengusaha kantin sekolah terbabit juga terkorban dalam tragedi berkenaan bersama seorang pekerjanya.

Abdul Aziz berkata, JPWPKL juga akan menempatkan sekumpulan pakar kaunseling di sekolah itu bagi membantu warga sekolah, termasuk guru dan anak murid yang masih sukar menerima kehilangan berkenaan.

“Adalah penting untuk menaikkan semangat semua pihak supaya mereka ini boleh ‘move on’ daripada tragedi ini walaupun ia sangat menyedihkan kita.

FOTO: NSTP

“Kita mahu bina semula keyakinan semua warga sekolah ini dan pasukan kaunseling yang dihantar Kementerian Pendidikan akan ada membantu,” katanya.

Enam guru yang meninggal dalam kejadian pada 16 Disember itu adalah Fong Choy Kee, 43; Lai Lee Koon, 44; Lim Wen Xin, 36; Hong Mei Jing, 38; Lam Sook Man, 37 dan Liu Pei Si, 44.

Murid yang terkorban adalah adik-beradik Eng Huai Yi, 12 dan Eng Shao Qi, 11 serta Tong Kai En, sembilan tahun, manakala pengusaha kantin yang terkorban adalah Gary Eng Choon Wen, 43 dan pekerjanya, Nurul Azwani Kamaruzaman, 31.

Loading...
Terkini