comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi Batang Kali: 13 mangsa maut sehingga ini, sebahagian besar cedera kategori ‘zon hijau’

KUALA LUMPUR: Seramai 13 mangsa dilaporkan terkorban setakat ini dalam kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Father Organic Farm, Batang Kali, awal pagi tadi.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata mayat mangsa  dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan ada yang masih di lokasi kejadian.

“Kita akan berkoordinasi dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) khususnya kerana HKL ada kapasiti yang lebih besar.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat mangsa yang cedera dalam kejadian itu di Hospital Selayang, hari ini.

Dr Zaliha berkata, setakat ini, tujuh mangsa yang cedera sedang dirawat di hospital, termasuk tiga di Hospital Selayang, tiga di Hospital Kuala Kubu Baru dan seorang di HKL.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan pegawai dan pasukan kesihatan Kementerian Kesihatan ke atas mangsa yang cedera di lokasi kejadian, sebahagian besar kes adalah dalam kategori zon hijau, dengan sebahagian kes dalam kategori zon kuning dan merah.

“Bagi mangsa zon merah, kita terus hantar ke Hospital Selayang. Tiga kes di sini memerlukan pemerhatian, termasuk seorang wanita hamil, yang setakat ini dalam keadaan stabil.

“Seorang pesakit mengalami kecederaan di bahagian muka dan seorang lagi, kita bimbang mengalami kecederaan abdomen.

“Selain itu, satu kes dihantar ke HKL kerana disyaki mengalami kecederaan tulang belakang,” katanya.

Dr Zaliha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pertama pada jam 2.29 pagi dan terus bertindak pantas dengan menghantar seorang pakar serta dua pegawai perubatan ke lokasi kejadian.

“Kita juga bertindak pantas dengan membuat koordinasi dengan hospital yang lain, khususnya klinik yang berdekatan dengan kejadian iaitu Klinik Kesihatan Kalumpang, Rasa, Serendah dan Ulu Yam, selain Hospital Kuala Kubu Baru,” katanya.

Pagi tadi, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata dianggarkan 100 orang dikhuatiri menjadi mangsa dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.

Norazam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 2.24 pagi dan sepasukan 20 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Baru, Rawang dan Genting Highlands dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, maklumat daripada pasukan perubatan mendapati 31 mangsa berjaya ditemukan dan berada dalam keadaan selamat.

Loading...
Terkini