KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan meningkat pagi ini, berikutan cuti panjang sempena perayaan Tahun Baharu Cina esok.
Setakat 9 pagi ini, berlaku pertambahan kenderaan keluar dari ibu kota dengan trafik perlahan dilaporkan di laluan Sungai Buloh ke Rawang Selatan dan Rawang Selatan menuju ke Rawang.
Trafik juga dilaporkan sesak dari Putrajaya ke Bandar Gamuda Cove berikutan kemalangan di Kilometer 25.3 dan dari Slim River ke Sungkai.
Plus Malaysia Berhad (Plus) menerusi laman sosial X memaklumkan turut mengaktifkan ‘Smartlane’ di beberapa lokasi yang mengalami kesesakan antaranya dari Kilometer 19.4 sehingga Kilometer 27.4 arah utara laluan antara Senai ke Kulai dan Kilometer 367.3 sehingga Kilometer 354.0 arah utara laluan Slim River ke Sungkai.
Turut diaktifkan ‘Smartlane’ di Kilometer 441.4 sehingga Kilometer 435.4 arah utara laluan Rawang ke Sungai Buaya; Kilometer 280.0 sehingga Kilometer 276.0 arah selatan laluan Nilai ke Bandar Ainsdale.
Sementara itu, trafik juga dilaporkan perlahan arah Timur dari Gombak ke Genting Sempah dan Bukit Tinggi ke Lentang, berikutan pertambahan kenderaan.
Pengguna lebuh raya dinasihati merancang perjalanan mengikut jadual perjalanan dikeluarkan pengendali lebuh raya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.