Oleh: Farah Nabilah Wazer
PUTRAJAYA: Sektor penerbangan negara dijangka terus berkembang pesat tahun ini, dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menjangkakan trafik penumpang udara mencapai antara 105.8 juta hingga 112.9 juta penumpang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, buat pertama kali sejak pandemik COVID-19, jumlah penumpang udara dijangka melepasi rekod tertinggi yang dicatatkan pada 2019 iaitu 109.3 juta penumpang.
“Ini mewakili pertumbuhan antara 8.4% hingga 15.6% berbanding tahun sebelumnya, menunjukkan pemulihan yang kukuh dalam sektor penerbangan,” katanya.
Ujar Loke, pertumbuhan trafik dipacu oleh penambahan kapasiti tempat duduk oleh syarikat penerbangan, peningkatan permintaan perjalanan antarabangsa dan pertumbuhan pendapatan isi rumah.
Perjalanan domestik turut diramalkan meningkat 21.1% tahun ke tahun, dengan tiga rantau utama dijangka menyumbang kepada pertumbuhan iaitu Afrika, Eropah dan Asia Selatan.
Loke juga memaklumkan, syarikat penerbangan melancarkan laluan udara baharu tahun lalu, termasuk ke Kazakhstan dan Kenya, sambil memanfaatkan inisiatif pengecualian visa pelancong dari China dan India.
Beliau ditemui pemberita dalam satu sidang Statistik MAVCOM 2024, siang tadi.
Sementara itu, trafik penumpang udara mencatat peningkatan 14.3% tahun lalu, dengan jumlah keseluruhan 97.1 juta penumpang.
Menurut Loke, pencapaian tersebut selaras dengan unjuran MAVCOM, iaitu antara 95.4 juta hingga 97.6 juta penumpang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.