KUALA LUMPUR: Trafik di beberapa lebuh raya utama bergerak perlahan susulan kemalangan dan kenderaan rosak.
Jurucakap PLUS Trafik bagaimanapun memaklumkan aliran trafik masih lancar pada petang Aidiladha ini.
PLUS memberitahu, berlaku kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Kilometer (KM) 155.3 arah utara di Jawi ke Bandar Cassia River, Pulau Pinang.
Insiden itu menyebabkan kesesakan sejauh lima kilometer, tetapi beransur pulih, namun trafik masih bergerak perlahan.
“Kemalangan juga berlaku di KM264.5 arah selatan dari terowong ke Ipoh (U) dan di KM263.4 arah utara dari Ipoh (U) pula, sebuah bas rosak hingga lorong kiri terhalang.
“Selain itu, kemalangan turut berlaku di KM258.7 arah utara dari terowong menuju Kuala Kangsar menyebabkan trafik sesak sejauh sembilan kilometer, selain kemalangan di KM263.2 arah selatan dari terowong ke Ipoh (U), namun trafik terkawal,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik Lebuhraya KL-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), lancar setakat ini.
“Sebelum itu, trafik dilaporkan perlahan dari Greenwood ke Plaza Tol Gombak arah timur,” katanya. – BERNAMA