Tumpuan :
Nasional

Tradisi makan colek mula menular ke kafe hipster di Kelantan

Pengurus Snow Town Cafe, Syahmie Amri Hamsani menunjukkan pelbagai hidangan colek yang disediakan di kafenya. FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Situasi berbeza mula dirasai pada Ramadan ini di Kelantan apabila semakin banyak kafe hipster mula menawarkan hidangan colek.

Tinjauan di sekitar bandar Kota Bharu mendapati seawal jam 8 malam orang ramai sudah mula membanjiri kafe-kafe untuk menikmati hidangan colek.

FOTO: NSTP

Mereka terutama golongan muda mendakwa kafe menjadi pilihan kerana lebih selesa dan santai untuk melepak berbanding kedai makan atau warung.

Lebih menarik, kaum Cina juga dilihat tidak melepaskan peluang untuk menikmati pelbagai hidangan colek yang hanya terdapat pada bulan Ramadan itu.

FOTO: NSTP

Pengurus Snow Town Cafe, Syahmie Amri Hamsani, 28, berkata dia sendiri tidak menyangka percaturan untuk menyediakan menu colek sejak Ramadan tahun lalu membuahkan hasil.

Katanya, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila setiap hari cafenya boleh dikatakan penuh bermula jam 8 malam sehingga 1 pagi.

FOTO: NSTP

“Saya mula memperkenalkan menu colek tahun lalu dan boleh dikatakan cafe kami satu-satunya menyediakan menu berkenaan, namun Ramadan kali ini, sudah banyak cafe yang turut berbuat demikian.”

Tambah Syahmie, hidangan colek kini menjadi menu pilihan pelanggannya berbanding makanan barat.

“Sejak memperkenalkan menu colek, boleh dikatakan hasil jualan tertinggi di Snow Town Cafe direkodkan adalah pada bulan Ramadan hasil daripada menu colek yang disediakan.”

Katanya, antara colek yang disediakan adalah colek campur, colek kerang, colek makanan laut serta colek buah sama sebagaimana yang disediakan di restoran-restoran.

Pengunjung, Salwani Omar, 49, mengakui jika sebelum ini dia menikmati hidangan colek di restoran, namun tahun ini buat pertama kalinya dia menikmati menu tradisi Ramadan itu di kafe.

“Saya sangat teruja melihat kafe-kafe masing-masing memperkenalkan menu baharu iaitu colek dan saya antara individu yang tidak melepaskan peluang berkunjung di kafe.”

Menurut Salwani, dia dan rakan-rakannya lebih selesa menikmati hidangan colek di kafe berbanding restoran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini