KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan pihaknya sudah melengkapkan siasatan berhubung dakwaan beberapa pembekal emas diperdaya seorang pemilik kedai emas di Shah Alam, Selangor, sehingga kerugian jutaan ringgit.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata malah kes itu telah pun dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada 27 Julai lalu bagi cadangan tuduh.
Artikel berkaitan: Lelaki didakwa perdaya pembekal emas babit kerugian RM11 juta
“Bagaimanapun, arahan TPR supaya kes diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) kerana tiada elemen kesalahan salah guna harta atau tipu,” katanya ketika ditanya berhubung status terkini kes itu.
Tambah Mohd Iqbal, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan berdasarkan laporan dibuat mangsa.
Buletin TV3 semalam melaporkan seorang pemilik kedai emas didakwa memperdaya beberapa pembekal emas untuk mendapatkan bekalan emas tanpa membuat sebarang bayaran sebelum menghilangkan diri hingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM11 juta.
Lelaki berusia 30 tahun itu yang memiliki sebuah kedai emas di Shah Alam dan dikesan menggunakan modus operandi sama untuk menipu pembekal emas sejak setahun lalu.
Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong dilaporkan berkata sekurang-kurangnya 10 orang menjadi mangsa kepada suspek terbabit.
Michael turut berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.