Oleh: Siti Khadijah Jaafar
PUTRAJAYA: Cubaan menjatuhkan kerajaan perpaduan menerusi ‘Langkah Dubai’ dubai adalah benar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan perkara itu berkata, ia berdasarkan laporan risikan diterima pihaknya.
“Laporan dari segi perisikan memang kami perolehi seawal penerbangan mereka ke tempat itu. Laporan selepas itu, kami perolehi. Tapi pada hemat kami, langkah itu hanya membuang masa,” katanya.
Meskipun sudah mendapat laporan perisikan namun beliau enggan mendedahkan nama pemimpin terlibat.
Beliau turut menasihatkan individu terbabit agar menunggu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) sekiranya mahu membentuk kerajaan baharu.
Menurut Ahmad Zahid, langkah itu juga tidak dirasakan baik kerana cubaan ‘tebuk atap’ telah beberapa kali dilakukan dan terbukti tidak berjaya.
“Yang penting, apabila rakyat memberikan mandat kepada parti-parti untuk memberikan dokongan kepada Ahli-ahli Parlimen yang dipilih dan kini kita dapatkan bahawa kerajaan perpaduan mempunyai sokongan melebihi dua partiga.
“Rakyat harus diberikan keadilan untuk politik ini dimantapkan keutamaan adalah untuk membangunkan negara kita, terutamanya dari segi bangunan ekonomi, memberikan kesejahteraan yang lebih melata pada rakyat” katanya.
Ketua Pengarah Komunikasi Komuniti Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Ismail Yusop sebelum ini mendakwa wujud gerakan terbaru bagi menjatuhkan kerajaan Perdana Menteri yang didalangi pemimpin Perikatan Nasional (PN).
Satu pertemuan juga didakwa diadakan oleh beberapa Ahli Parlimen PN dengan wakil rakyat dari blok kerajaan di Emiriah Arab Bersatu untuk tujuan itu.