comscore
Tumpuan :
Nasional

TPM Zahid bakal kongsi kejayaan, cabaran pengurusan bencana di Brunei

Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-12 di Brunei.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-12 di Brunei selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat.

Mesyuarat itu berfungsi sebagai forum untuk bertukar pandangan mengenai isu strategik dan terkini termasuk membincangkan kemajuan semasa serta status perkembangan program dan aktiviti di bawah ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (AADMER) 2021-2025.

Pejabat TPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, mesyuarat bertemakan ‘Buliding a Resilient ASEAN Through Inclusive and Sustainable Disaster Recovery’ membabitkan wakil dari negara anggota ASEAN yang terlibat secara langsung dalam pengurusan risiko bencana di negara masing-masing.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pengurusan bencana, TPM turut akan menghadiri beberapa mesyuarat lain dengan rakan dialog seperti AMMDM bersama China kali ke-4, AMMDM bersama Jepun kali ke-4 dan juga AMMDM bersama Korea Selatan kali ke-3.

“Pada 24 Oktober 2024, TPM dijadualkan akan menyampaikan kenyataan negara berkenaan inisiatif, pelaksanaan dan kejayaan serta cabaran dalam pengurusan dan risiko bencana menerusi pendekatan yang diambil oleh Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu dijadual akan mengambil kesempatan untuk bertemu dengan rakyat Malaysia yang berada di Brunei dalam satu majlis makan malam.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara diiringi Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus.

Sementara itu, pada hari terakhir mesyuarat tersebut, beliau bersama wakil negara ASEAN akan menghadiri ‘Majlis Sambutan Memperingati 20 Tahun Tsunami Lautan Hindi’ dan ‘Hari Pengurusan Bencana ASEAN 2024’ di Taman Mahkota Jubli Emas di Bandar Seri Begawan.

“Penyertaan dan kehadiran TPM dalam AMMDM ke-12 ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan diplomatik dengan negara ASEAN serta memperkuat daya tahan rantau ini terhadap bencana alam, selain mempereratkan hubungan dengan rakyat Malaysia yang berada di luar negara,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini