Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
ABU DHABI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mengadakan lawatan rasmi bermula hari ini hingga 19 November.
Beliau tiba di Lapangan Terbang Al Bateen, Abu Dhabi pada 3.12 petang waktu tempatan menggunakan pesawat khas diiringi pegawai kanan daripada kementerian dan agensi berkaitan serta wakil daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri disambut oleh Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE, Suhail Mohamed Al Mazrouei dan bakal Duta Besar Malaysia ke UAE, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.
Menurut Wisma Putra dalam kenyataan, ia merupakan lawatan peringkat tinggi pertama antara kedua-dua negara pada tahun ini selepas lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke UAE pada Oktober tahun lepas.
“Ia menunjukkan komitmen berterusan Malaysia dalam usaha mengukuhkan hubungan dan memupuk kerjasama dalam pelbagai sektor yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua negara sejak hubungan dua hala dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada September 2022,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada lawatan itu, Datuk Seri Ahmad Zahid bakal merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Dubai 2024 dan bertemu dengan pihak berkepentingan dalam sektor halal UAE sebagai usaha mempromosikan dan menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia.
“Pada 2023, UAE merupakan pengimport terbesar produk halal Malaysia dalam kalangan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
“UAE juga ialah rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dari rantau Asia Barat,” katanya.
Dari Januari hingga September tahun ini, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE meningkat sebanyak 16.03 peratus kepada RM32.85 bilion berbanding RM28.31 bilion bagi tempoh sama pada 2023.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.