Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
PUTRAJAYA: Lebih 4,500 peserta menyertai Larian & Jalan Malam Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2024 di Anjung Floria, Putrajaya, malam ini.
Pelepasan para peserta terbabit disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut meluangkan masa bersama kira-kira lebih 2,700 peserta menyertai acara berjalan kaki sejauh tiga kilometer.
Acara itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-75 syarikat utiliti itu pada 1 September lalu.
Turut hadir menyaksikan acara itu Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan.
Menurut kenyataan program tersebut, acara secara santai itu bertemakan Meraikan Kemajuan, Melakar Masa Hadapan’.
“Ini juga selari dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang dilaksanakan TNB serta menunjukkan komitmen syarikat mempromosikan amalan kecekapan,” katanya.
Ujar kenyataan itu, aktiviti sedemikian menyerlahkan kepentingan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan komuniti serta nilai kelestarian yang menjadi amalan rakyat.
Malah penyertaan luar biasa yang diterima kali ini membuktikan rakyat Malaysia masih lagi mengutamakan aspek kesejahteraan terhadap alam sekitar di seluruh negara.
Kali terakhir program larian dan berjalan kaki yang diadakan syarikat utiliti itu pada 2019.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.